Pagi masih muda. Ketika saya melangkah lesu masuk ke bilik pemulihan khas. Beg kerja saya letakkan di atas meja. Kerusi saya tarik. Perlahan-lahan duduk di kerusi kerja. Sendirian melayan perasaan!
Saya melayangkan pandangan ke arah hadapan bilik. Merenung kosong set kusyen biru. Ada kenangan menyapa.
Di situ saya selalu membaca buku bersama murid-murid saya. Dan saya seakan terdengar-dengar semula. Suara anak-anak murid saya bergaduh sesama sendiri. Berebut tempat mahu duduk di sebelah saya!
Pandangan saya alihkan ke meja belajar. Juga ada kenangan manis. Di situ saya selalu menunggu mereka menyiapkan lembaran kerja.
Dan saya teringat-ingat. Gelagat manja Fatihah dan Firdaus memeluk saya dari belakang. Ketika saya sibuk menanda buku kerja mereka!
Saya mengalihkan pandangan ke rak kuning. Betul-betul di sebelah peti ais. Kenangan lain pula menyapa.
Ruangan ini merupakan ruangan yang paling anak-anak murid saya gemari. Di atas tingkat rak ada thermos panas. Murid-murid saya selalu merengek. Meminta saya menyediakan minuman panas.
Dan saya seakan ternampak-nampak. Betapa berseleranya mereka menikmati air vico. Dengan roti bakar bersapu kaya yang masih panas!
Di situ juga ada radio kecil. Betul-betul di atas peti ais. Saya memasangnya setiapkali mereka membuat kerja-kerja yang saya beri. Kami berbual-bual sambil mendengar radio. Dan sesekali menyanyi bersama mengiringi lagu yang diputarkan. Alangkah manisnya saat itu.
Sejujurnya, saya tidak boleh membohongi hati saya sendiri. Betapa seluruh kelas ini mengingatkan saya pada bekas anak-anak murid saya : Zikri, Nasyat, Firdaus dan Fatihah.
Di sini kami pernah menghabiskan masa bersama. Belajar membaca, menonton televisyen, belajar mengira, bermain congkak, menyanyi, bergurau dan ketawa. Dan ketika mereka merajuk....saya tenangkan mereka dengan dakapan seorang ibu!
Namun mulai hari ini semuanya hanya tinggal kenangan. Mereka telah berpindah. Ke sekolah integrasi pendidikan khas seminggu sebelum hari raya menjelang.
Meninggalkan saya bersama kenangan yang terus mencengkam jiwa. Betapa saya merasakan kehilangan!
Dan hingga kini. Bayangan mereka terus menghantui saya. Berlegar-legar di bilik pemulihan khas ini. Menemani saat saya duduk sendirian.

BETAPA MEREKA SAYA RINDUI!