Isnin, 9 April 2012

PUTARAN HIDUP

Posted by CIKGU ROS at 7:00 PTG 0 comments
Saya selalu diberitahu. Hidup ini diumpamakan seperti roda. Ada masa di atas. Ada masa di bawah. Suka dan duka silih berganti. Bahagia dan derita punya ruang tersendiri.

"Andai roda tidak berputar lagi, itu bermaksud kehidupan juga turut terhenti!" Saya membuat andaian sendiri.
Sekadar gambar hiasan

Sesekali saya juga terfikir. Mengapakah perlu ada derita dan kepedihan dalam hidup. Alangkah bagusnya jika bahagia dan kegembiraan sentiasa mengisi kantung kehidupan kita. Mengapa tidak?

Tetapi bila saya fikirkan semula. Tidakkah nanti saya diselimuti kebosanan. Jika sentiasa berada di posisi yang sama setiap masa. Malah lebih menakutkan. Saya akan menjadi manusia yang tak pandai bersyukur. Gara-gara tidak pernah menempuh rintangan hidup. Mahukah saya?

Lalu saya membuat kesimpulan sendiri...."menangislah semaunya ketika diuji dengan kepahitan. Dan ketawalah sebebasnya  ketika diberi kebahagiaan. Kerana keduanya adalah asam garam kehidupan. Seumpama rencah masakan yang perlu ditabur. Semuanya untuk menyedapkan lagi rasa!"

Mee Jawa...


"Dan yang lebih penting. Tuhan sentiasa menguji saya. Tidak kira masa suka atau duka. Agar saya semakin dekat padaNya!" Pujuk hati saya lagi.

Sabtu, 7 April 2012

MAAFKAN CIKGU.....

Posted by CIKGU ROS at 8:22 PG 0 comments

Sejak sekian lama, baru hari ini saya berpeluang melihat semula gambar bekas anak murid  saya di fb....Arif. Wajah ceria Arif bersama rakan-rakan saya renung. Dah besar panjang rupanya dia. Begitu cepat masa berlalu.

Satu masa, Arif pernah dirujuk kepada saya. Semuanya bermula apabila guru-guru di kelas Arif mendapati beliau terlalu sukar menguasai kemahiran 3M. Sejak awal persekolahan lagi! Dan sebagai guru pemulihan, teman-teman setugas menaruh harapan saya mampu membantu Arif.

Bermula detik  itu saya berusaha membantu Arif. Mengajarnya membaca, menulis dan mengira. Tapi tidak banyak perubahan yang berlaku kepada Arif. Terlalu sedikit kemajuan yang dicapainya. Dan saya mengalah akhirnya!

Atas nasihat pihak pengurusan sekolah, bapa Arif membawa beliau kepada doktor untuk pemeriksaan keupayaan iq. Dan doktor akhirnya mengesahkan . Bahawa tahap keupayaan mental Arif jauh lebih rendah berbanding usianya. Dan bila Arif berpindah ke Kelas Integrasi pendidikan khas, saya hanya melihat Arif dari jauh!



Secara jujurnya......Hingga kini jauh di dalam hati saya selalu menyesal. Tertanya-tanya di manakah silapnya hingga Arif tidak berjaya saya pulihkan. Di manakah silapnya? Andai benar Arif mempunyai tahap iq yang tidak sepadan dengan usianya...mengapakah saya ketika itu tidak berusaha sedaya upaya membantunya. Mengapakah?


"Arif..........Maafkan cikgu!" Dan air mata saya menitik lagi
 

Catatanku, Memoriku Copyright © 2010 Design by Ipietoon Blogger Template Graphic from Enakei