Selasa, 21 Mac 2017

HAPPY BIRTHDAY DATANG LAGI

Posted by CIKGU ROS at 9:23 PTG 0 comments
TARIKH : 4 JANUARI
Hari Ahad, perhimpunan mingguan pagi. Di dewan sekolah yang sama, wajah-wajah yang sama, rutin pagi yang sama. Sama seperti minggu-minggu sebelumnya.

Tiba-tiba satu demi satu nama dipanggil ke hadapan. Lagu 'Selamat Hari Jadi' nyanyian rakan guru setugas dan anak-anak didik berkumandang. Suasana bertukar menjadi gamat. 

Seiring wajah-wajah warga sekolah yang lahir pada bulan Januari dan Februari menguntum senyum. Termasuk saya!

Diam tak diam 4 Januari datang lagi. Bermakna usia bertambah setahun lagi. Ahamdulillah, Allah beri saya keizinan menyambut sekali lagi ulang tahun kelahiran.

Kongsi Hari Jadi
Terima kasih Puan Guru Besar. Biarpun mungkin kecil dari segi nilaiannya, tetapi cukup bererti dengan ingatan yang ada.






Terima kasih Puan Guru Besar. Terima kasih daun keladi, kalau panjang umur tahun depan kami nak hadiah lagi....hahaha


PEMANTAUAN HARI PERTAMA PERSEKOLAHAN SESI 2017

Posted by CIKGU ROS at 8:39 PG 0 comments
#1 JANUARI 2017

Hari pertama persekolahan sesi 2017.Murid-murid pemulihan sengaja saya biarkan berada dalam kelas mereka. Biar serasi dengan guru kelas  dan rakan-rakan baru terlebih dahulu.


Masa terluang yang ada saya gunakan untuk mengemaskini mana-mana yang patut. Sistem perfailan dan susun atur kelas telah saya kemas kini pada minggu-minggu akhir cuti sekolah baru-baru ini.

Tetapi pagi ini ruang bacaan masih mencuri perhatian saya lagi . Entah kenapa saya tetap merasakan ada yang tak kena dengan susunan di situ.

So apa lagi, buku-buku cerita di dalam rak buku saya keluarkan semuanya.  Saya biarkan semuanya terkapar di atas meja belajar murid. Rak buku dan sofa mahu saya tukar kedudukannya . Suka sama suka.

"Last touch up ." Getus saya . 


Belum sempat menolak rak buku ke tempat lain, pintu bilik saya terbuka diiringi suara memberi salam.Tuan Haji Khairi, Timbalan PPDKT dan puan Guru Besar menjengol di balik daun pintu!




Alamak.....pemantauan hari pertama persekolahan! Saya menggelabah....

"Sorry Tuan, bilik pemulihan saya sedikit bersepah hari ni."

"Hmmm...baru nak berkemas ke? Kenapa tak settle hari Khamis baru ni?" Tuan Timbalan bersuara. Puan Guru Besar di sebelah tersenyum. 

"Hehehe..... terkena aku." Bisik saya sendiri.

#PENGAJARAN : Jangan buat kerja last minit.

Selasa, 25 Ogos 2015

MELIHAT DIRI

Posted by CIKGU ROS at 8:59 PG 0 comments
melihat diri
dari jendela hati sendiri
kujerkah berulangkali
apa lagi yang kau cari


melihat diri
lesu menangani duniawi
kutanya berkali-kali
apa lagi yang kau cari?


aduhai diri
meniti perjalanan tiada henti
aku umpama pejuang yang keletihan
sering termangu dalam igauan yang tak pasti
karna sesuangguhnya 
menyelusuri kehidupan 
di lorong  yang penuh ranjau dan onak ini
aku selalu hanyut dalam mimpi
yang seringkali hanyalah fatamorgana


ya rahmaan...ya rahiiim
dalam sendu ini
aku yang mencari diri sendiri
akhirnya tersungkur di ribaanmu
maafkan aku Tuhan
atas kealpaan ini
dan 
terimalah aku kembli


 Terima kasih Tuhan!



Selasa, 13 November 2012

KENAPA DENGAN KITA?

Posted by CIKGU ROS at 6:06 PTG 0 comments


Kita selalu berharap. Akan ada peluang kedua.   Lalu berjanji separuh mati. Akan melakukannya sebaik mungkin di lain kali. Hingga akhirnya. Peluang  yang hadir kita persiakan. Padahal kita sendiri tahu. Esok belum tentu ada!






Kita juga selalu. Begitu payah mahu meluahkan rasa kasih. Begitu sukar menzahirkan rasa sayang. Pada seseorang yang begitu kita kasihi. Namun peliknya. Bila perpisahan berlaku. Ianya terlalu amat kita sesali.

Kenapa dengan kita sebenarnya? 



Isnin, 22 Oktober 2012

HUJAN OH HUJAN

Posted by CIKGU ROS at 5:47 PG 0 comments
Hujan masih turun. Sejak semalam lagi. Hati saya betul-betul gundah dibuatnya.  


"Rosaklah program jika hujan turun tidak berhenti-henti." Rungut saya sendirian.

Manakan tidak. Perkhemahan Kem Kepimpinan Pengakap sekolah saya dengan usahasama pengakap laut UMT akan bermula hari ini hingga esok.

Ianya telah dirancang sejak tiga bulan yang lalu. Anak-anak pengakap saya begitu ternanti-nanti detik ini.  

Jika hujan masih turun, bermakna banyak aktiviti yang dirancang oleh pengakap laut UMT akan terencat.  Alangkah kecewanya mereka nanti

Sejujurnya, tahun ini saya terlalu sibuk dengan aktiviti luar sekolah. Hingga tumpuan pada aktiviti pengakap sekolah agak kurang.

Hinggakan anak-anak pengakap saya selalu merungut tentang hal itu.  Membuatkan saya rasa bersalah pada mereka.


Justeru itu, saya berharap. Agar perkhemahan kali ini dapat mengubat sedikit kekecewaan mereka.

Biarlah ianya menjadi memori terindah. Terutamanya ahli tahun 6 yang akan meninggalkan sekolah 3 minggu lagi. 

"  Ya Allah....bantulah saya. Sesungguhnya Engkau Maha Tahu." Saya pasrah!

Selasa, 16 Oktober 2012

HINGGA PENGHUJUNG NYAWA....

Posted by CIKGU ROS at 6:55 PTG 0 comments

"Mak dah tua. Entah esok atau lusa, mak akan mati". Kata mak. Saya cuma ketawa mendengarnya.

"Apa nak diherankan pasal mati. Semua yang hidup  akan mati. Entah-entah saya yang muda ni pun akan mati dahulu". Bidas saya.

"Kamu jangan mati dahulu sebelum mak". Ada hiba di hujung suara emak.

"Kenapa pula?" 

"Kalau kamu mati dulu, tak ada yang akan hantar duit belanja untuk mak setiap bulan".

"Wah, mak saya mata duitan rupa-rupanya." Gurau saya. 
"Mak jangan bimbang. Kalau saya mati dahulu, duit pencen saya kan ada. Duit belanja untuk mak tetap ada. Sehingga penghujung nyawa ." Tambah saya lagi. Tawa mak kedengaran di hujung talian. Dan saya lega mendengarnya. Saya tahu mak sengaja mahu menguji saya.

Mak saya bukan orang susah. Harta peninggalan arwah bapak ada.  Tanpa wang kiriman bulanan saya pun mak masih boleh hidup
.
Tapi peliknya, duit kiriman saya yang tidak seberapa itu sentiasa bermain di mulut emak. Mak selalu menceritakan dengan bangga hal itu kepada jiran-jiran. Begitu juga kepada saudara mara. Hingga naik segan saya dibuatnya.

"Duit yang saya kirim tiap bulan bukannya banyak sangat. Mak tak payahlah cerita kat orang lain." Luah saya satu hari. .

"Hiss........Sikit atau banyak tak penting bagi mak. Tapi pemberian dari orang yang kita sayang amat berharga." Jawab mak lembut. Mata redup mak merenung saya. Dengan penuh kasih . Mengunci terus mulut saya.

"Mak....." Getar hati saya.

Sabtu, 29 September 2012

NANTI LU.....

Posted by CIKGU ROS at 6:34 PTG 0 comments
Sesekali saya sesali.  Sikap saya yang suka bertangguh. Setiapkali punya tugasan. Menunggu-nunggu masa yang sesuai. Lalu saya biarkan . Waktu yang ada. Berlalu begitu sahaja.

Hinggalah saat terakhir.  Mahu tak mahu . Saya perlu juga menyempurnakannya. Dalam keadaan tergesa-gesa. Sambil menyumpah-nyumpah di dalam hati. Mengapalah saya tidak melakukannya lebih awal.

Meskipun saya mampu menyempurnakan.  Tetapi biasanya saya sendiri tidak berpuashati.  Kerana saya tahu kemampuan diri. Betapa saya boleh melakukannya dengan lebih baik lagi. Tapi ketika itu, semuanya sudah tidak bererti. 

Dan selepas itu. Saya akan berjanji. Pada diri  sendiri.  Tidak mahu bertangguh lagi.  Tapi janji tinggal janji. Ianya tetap berlaku.  Berlaku dan terus berlaku. Bukan sekali. Malah berkali-kali. Dan seperti selalu, saya akan bersedih berhari-hari. Menyesali diri!

Mengapalah dengan saya.......hehehe!
 

Catatanku, Memoriku Copyright © 2010 Design by Ipietoon Blogger Template Graphic from Enakei