Sejak kecil saya suka membaca, gila buku. Sejak mula bersekolah saya telah pandai membaca. Sejak itu saya sentiasa dahagakan bahan bacaan.
Namun arwah Bapak saya Cuma seorang penoreh getah. Adik- beradik saya pula ramai. Arwah Bapak terpaksa mendahulukan keperluan lain dahulu. Buku atau majalah tidak pernah masuk dalam agenda.
Dan saya terpaksa mencari jalan sendiri. Setiap hari saya ke rumah Kak Ida, jiran kami. Rumahnya terletak tidak jauh dari rumah saya. Bapanya memang melanggan surat khabar. Dan saya menumpang membaca secara percuma.
Di kampung saya juga terdapat sebuah mini perpustakaan. Selepas habis sekolah saya selalunya menghabiskan masa di situ. Duduk berjam-jam. Membaca satu persatu buku yang ada. Malahan buku yang telah rosak dan mahu dihapus kira turut saya punggah. Dan untungnya saya, kerana kerani di situ tidak pernah memarahi saya. Terima kasih Kak Zakiah!
Saya turut meminjam buku di perpustakaan sekolah. Hampir saTu perpustakaan habis saya borong. Sebuah buku setiap hari. Ketika itu belum ada kemudahan elektrik di kampung saya. Jadi, saya membaca dengan menggunakan lampu pelita. Bengkak-bengkak mata saya membaca setiap malam. Saya tidak akan tidur selagi tidak menamatkan sesebuah buku. Kerana esok hari saya mahu meminjam buku yang lain pula. Kesannya hingga sekarang saya terpaksa memakai cermin mata.
Saya memang gila membaca. Di dalam tandas, atas meja makan, dalam kereta. Dan di mana-mana sahaja.
Saya pernah didenda seorang guru. Guru Bahasa Melayu Tahun 6 saya. Dia marah kerana saya lebih asyik membaca dari mendengar pengajarannya. Hari itu saya didenda berdiri sepanjang waktu pengajarannya. Tapi saya tak pernah serik!
Naik ke sekolah menengah, corak pembacaan saya berubah. Cerita kanak-kanak dan siri penyiasatan tidak lagi menjadi kegilaan. Sebaliknya buku-buku berbentuk cinta mula menjadi pilihan. Mungkin kerana mula berada di alam remaja.
Saya terus membaca dan membaca. Menjelang di tingkatan 4, saya mula mengalihkan corak pembacaan. Saya lebih tertumpu kepada pembacaan yang lebih berat. Saya mula menggemari bahan-bahan falsafah, sejarah dan lain-lain.
Tak tahu kenapa, selepas tamat SPM saya mula malas membaca. Saya mula jemu dengan buku. Hinggakan pada satu tahap memandang pun saya benci. Saya hanya membaca buku pelajaran saya saja. Desakan untuk lulus periksa ketika itu begitu mendesak. Dan perlahan-lahan kegemaran suka membaca saya mula hilang..