Rabu, 22 September 2010

KISAH ABU TAK PUASA

Posted by CIKGU ROS at 8:49 PTG 0 comments

Cuaca hari itu panas. Waktu persekolahan tinggal lima minit. Saya pun duduk di meja murid, melihat mereka menyiapkan kerja.

"Cikgu puasa tak?"

Tiba-tiba Abu, murid saya yang paling manja bertanya. Matanya yang cantik saya renung. Wajahnya penuh pengharapan. Menanti jawapan saya.

"Puasa."Jawab saya.

"Abu tak puasa."Luahnya jujur.

"Kenapa?" Tanya saya pula.

Abu tersenyum. 

"Abu tak tahan puasa. Rasa nak mati."Luahnya lagi. 

Saya tersenyum mendengarnya.


"Abu dah berbuka ke?" Jolok saya, mencari kepastian.

"Dah. Abu minum air tadi........gluk....gluk....gluk...." Jawab Abu sambil mengajuk bunyi yang keluar ketika dia menikmati air. 

Senyum saya semakin lebar mendengarnya. 

"Betapa tulusnya hati seorang anak kecil.  Tanpa berselindung berkata jujur. Tetapi mengapakah sikap berterus-terang itu semakin hilang.  Dengan semakin bertambahnya usia." Dalam hati saya berbisik sendiri.

Selasa, 21 September 2010

TIRU MACAM MALEK NOOR

Posted by CIKGU ROS at 4:45 PG 0 comments



Satu hari Cikgu Ahmad Iskandar (AI), guru Sejarah kami lambat masuk ke kelas. Saya  dan Suhaimi berbual -bual mengenai Malek Noor, ikon bina badan ketika itu.

"Awak boleh tak tiru gaya Malek Noor?

"Boleh!" . Jawab Suhaimi lalu  meniru gaya Malek Noor di hadapan kelas. 

 "Wow.....awak memang hebat!' Puji saya. Ikhlas.

Nazir  dan Zainal yang duduk tidak jauh dari kami segera menyertai Suhaimi. Mungkin tercabar dengan pujian saya. Ketiga-tiganya dengan bangga bergaya di hadapan kelas.

Melihat situasi itu, kawan sekelas yang lain turut memberi sokongan dengan bertepuk tangan. Dan situasi kelas mula riuh rendah jadinya.

Tiba-tiba Cikgu AI muncul di muka pintu. Kelas jadi senyap sunyi.

Suhaimi, Nazir dan Zainal terpinga-pinga. Cikgu AI berdiri tegak di depan mereka.

Dan selepas itu ketiga-tiga mereka menerima hukuman rotan kerana membuat bising di dalam kelas. 


Itu cerita lama. Ketika kami sama-sama sekelas di kelas 1 Melati . Di SMK. Tun Seri Lanang.  

Suhaimi, Nazir dan Zainal adalah sahabat sejati. Kerana sedikitpun tidak menyebut nama saya ketika Cikgu AI menghukum mereka.

Padahal sayalah punca yang beria-ia menyuruh mereka beraksi seperti Malek Noor pada hari itu!

 

Catatanku, Memoriku Copyright © 2010 Design by Ipietoon Blogger Template Graphic from Enakei