Satu hari Cikgu Ahmad Iskandar (AI), guru Sejarah kami lambat masuk ke kelas. Saya dan Suhaimi berbual -bual mengenai Malek Noor, ikon bina badan ketika itu.
"Awak boleh tak tiru gaya Malek Noor?
"Boleh!" . Jawab Suhaimi lalu meniru gaya Malek Noor di hadapan kelas.
"Wow.....awak memang hebat!' Puji saya. Ikhlas.
Nazir dan Zainal yang duduk tidak jauh dari kami segera menyertai Suhaimi. Mungkin tercabar dengan pujian saya. Ketiga-tiganya dengan bangga bergaya di hadapan kelas.
Melihat situasi itu, kawan sekelas yang lain turut memberi sokongan dengan bertepuk tangan. Dan situasi kelas mula riuh rendah jadinya.
Tiba-tiba Cikgu AI muncul di muka pintu. Kelas jadi senyap sunyi.
Suhaimi, Nazir dan Zainal terpinga-pinga. Cikgu AI berdiri tegak di depan mereka.
Dan selepas itu ketiga-tiga mereka menerima hukuman rotan kerana membuat bising di dalam kelas.
Itu cerita lama. Ketika kami sama-sama sekelas di kelas 1 Melati . Di SMK. Tun Seri Lanang.
Suhaimi, Nazir dan Zainal adalah sahabat sejati. Kerana sedikitpun tidak menyebut nama saya ketika Cikgu AI menghukum mereka.
Padahal sayalah punca yang beria-ia menyuruh mereka beraksi seperti Malek Noor pada hari itu!
0 comments:
Catat Ulasan