Isnin, 26 Disember 2011

SAYA SELALU PERCAYA.....

Posted by CIKGU ROS at 3:59 PTG 0 comments
Saya selalu percaya. Hidup ini seperti aliran sungai. Semuanya bermatlamat menuju ke laut. Ada kala mengalir lesu. Ada kala mengalir laju.

Dan seperti sungai, saya percaya bahawa hidup  ini telah ada laluannya. Sejak kita dilahirkan lagi. Di mana setiap orang akan melalui laluan yang telah Allah cipta untuknya. Dan di akhir laluan itu, saya akan kembali kepada Tuhan. Pencipta saya Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang!


Dan seperti sungai juga. Saya begitu percaya. Sepanjang perjalanan hidup saya akan menempuh banyak perkara . Ada yang manis. Dan ada yang pahit. Semuanya mengajar saya perihal hidup.  Jadi, mengapa harus berkeluh kesah?

Saya juga percaya. Bahawa tiada istilah kebetulan dalam hidup. Semuanya telah diaturkan dengan begitu indah oleh pencipta saya. Juteru itu redhalah ketika berhadapan dengan cubaan hidup. Dan bergembiralah ketika tuhan kurniakan kebahagiaan. Kerana semuanya akan ada masa penamat. Semuanya akan silih berganti. Jadi mengapa harus bersedih?


 Juteru itu saya mahu menikmati hari ini dengan sebaik mungkin. Karna sesungguhnya tiap apa yang Tuhan beri adalah yang terbaik untuk saya!

Sabtu, 12 November 2011

MANTERA HUJAN LEBAT!

Posted by CIKGU ROS at 8:51 PTG 0 comments
"Hujan lebat-lebat
kambing biri-biri
lekas cari ubat
Cik Minah sakit gigi"

Ketika di zaman kanak-kanak, saya dan kawan-kawan sepermainan selalu menyanyikan lagu ini. Terutama sekali ketika hujan turun rintik-rintik. 

Saya tidak pasti mengapa. Tapi saya begitu percaya. Begitu juga Leha, Zai, Suminah, Ruslan, Sham dan Inah. Bahawa ini mantera mengundang hujan lebat. 

Jika hujan tiba-tiba berhenti, kami akan mengeluh kehampaan. Tetapi jika hujan terus turun dengan lebat.....kami akan meluru ke halaman rumah

Melompat-lompat dengan girang. Membiarkan air hujan membasahi tubuh.




Emak selalu melarang saya bermain hujan. "Nanti demam." Larang emak berkali-kali. Tapi saya selalu berdegil. 

"Bapak kamu pun satu. Dibiarnya Ros bermain hujan." Rungut emak. Marah kerana bapak tidak pernah menegah kegilaan saya. 

Tapi saya tahu. Setiapkali hujan lebat, emak berdiri di sebalik tingkap rumah ketika itu. Mengawasi    saya dan teman-teman!

Selepas puas bermain hujan, kawan-kawan berlari pulang. Begitu juga saya. Dan seperti biasa emak berdiri di muka pintu. Menunggu saya seperti orang salah! 




Emak akan berleter sambil menunggu saya menyalin pakaian. Saya yang tidak tahan dileteri akan melarikan diri. Selalunya bersembunyi di bawah katil. Menyusup keluar bila kemarahan emak telah reda! 


"Emak tak pernah faham betapa seronoknya bermain hujan". Getus  saya. Dan kegilaan bermain hujan terus berlaku setiapkali hujan lebat!

Hinggalah satu hari. Suminah   tiba-tiba jatuh sakit. Demam berminggu-minggu. 

Saya dan kawan-kawan menziarahinya setiap hari. Berharap Suminah akan sembuh kembali. Sedih rasanya melihat sahabat kami terbaring lesu.  


Tetapi Suminah kami 'pergi' jua. 

Pada hari pengebumiannya, saya dan teman sepermainan yang lain  diberi peluang menatap jenazahnya buat kali yang terakhir. Sayu rasanya menatap wajah dingin Suminah. 

Dan ketika kain kapan menutup muka Suminah, saya terasa seperti Suminah membawa pergi sama semua kegembiraan yang pernah kami kongsi bersama!


Kematian Suminah meninggalkan kesan mendalam di dalam hati saya. Begitu juga kepada kawan-kawan lain. 


"Suminah mati sebab suka mandi air hujan!" Momok orang-orang kampung.

Ianya begitu menakutkan saya dan kawan-kawan. Kami tidak mahu kehilangan seorang lagi 'Suminah'

Dan perlahan-lahan mantera mengundang hujan lebat dilupai begitu saja.Tiada lagi gelak tawa kegirangan setiapkali hujan lebat.




Bertahun kemudian. Satu petang  saya  sendirian di halaman rumah ketika hujan turun . Rintik-rintik dan semakin lebat.

Seperti kilat saya teringat mantera memanggil hujan saya. Perlahan-lahan berdendang di dalam hati. Saya terpaku!


Betapa saya berharap  ketika itu. Arwah emak berdiri di sebalik tingkap. Mengawasi saya. 

Sepertimana saya berharap seseorang menemani saya bermain air hujan. Melompat-lompat  kegirangan . Seperti dulu-dulu.


"Suminah". Hati saya bergetar!

Ahad, 9 Oktober 2011

KALAU GURU

Posted by CIKGU ROS at 10:39 PTG 0 comments
kalau guru menunggu diarah
semua kerja kena kerah

kalau guru kurang mengajar
dapatlah murid yang kurang ajar


kalau guru tidak bersedia
di dalam darjah banyak bercerita

kalau guru kurang merancang
di dalam kelas banyak temberang


kalau guru kenal pelajar
di luar sekolah dia tak liar

kalau guru suka berdamping
semua murid dapat dibimbing

kalau guru sentiasa sibuk
kelasnya jadi hiruk pikuk

kalau guru malas membaca
ilmu diajar tak tahu punca

kalau guru selalu marah
pelajar keluar tak tentu arah

kalau guru tak galak mencuba
pelajar sekadar asyik menerima


kalau guru ada kepakaran
tunjuk ajar ketua tak jadi kesan 


kalau guru ada kepandaian
bantulah dia dengan kemudahan

kalau guru banyak tak tahu
bimbinglah dia agar berilmu

Selasa, 6 September 2011

MENGUSUNG RINDU.......

Posted by CIKGU ROS at 5:57 PTG 0 comments
Pagi masih muda. Ketika saya melangkah lesu masuk ke bilik pemulihan khas. Beg kerja saya letakkan di atas meja. Kerusi saya tarik. Perlahan-lahan duduk di kerusi kerja.  Sendirian melayan perasaan!


Saya melayangkan pandangan ke arah hadapan bilik. Merenung kosong set kusyen biru. Ada kenangan menyapa.  

Di situ saya selalu membaca buku bersama murid-murid saya. Dan saya seakan terdengar-dengar semula.  Suara anak-anak murid saya  bergaduh sesama sendiri. Berebut tempat mahu duduk di sebelah saya! 



Pandangan saya alihkan ke meja belajar. Juga ada kenangan manis. Di situ saya selalu menunggu mereka menyiapkan lembaran kerja.

Dan saya teringat-ingat.  Gelagat manja  Fatihah dan Firdaus memeluk saya dari belakang. Ketika saya sibuk menanda buku kerja mereka!


Saya mengalihkan pandangan ke rak kuning. Betul-betul di sebelah peti ais. Kenangan lain pula menyapa.

Ruangan ini merupakan ruangan  yang paling anak-anak murid saya gemari.  Di atas tingkat rak  ada thermos panas. Murid-murid saya selalu merengek. Meminta saya menyediakan minuman panas. 

Dan saya seakan ternampak-nampak.  Betapa berseleranya mereka menikmati air vico. Dengan roti bakar bersapu kaya yang masih panas!



Di situ juga ada radio kecil. Betul-betul di atas peti ais. Saya memasangnya setiapkali mereka membuat kerja-kerja yang saya beri. Kami berbual-bual sambil mendengar radio. Dan sesekali menyanyi bersama mengiringi lagu yang diputarkan. Alangkah manisnya saat itu.




Sejujurnya, saya tidak boleh membohongi hati saya sendiri. Betapa seluruh kelas ini mengingatkan saya pada bekas anak-anak murid saya : Zikri, Nasyat, Firdaus dan Fatihah.

Di sini kami  pernah menghabiskan masa bersama.  Belajar membaca, menonton televisyen, belajar mengira, bermain congkak, menyanyi, bergurau dan ketawa. Dan ketika mereka merajuk....saya tenangkan mereka dengan dakapan seorang ibu!

Namun mulai hari ini semuanya hanya tinggal kenangan. Mereka telah berpindah. Ke sekolah integrasi pendidikan khas seminggu sebelum hari raya menjelang. 


Meninggalkan saya bersama kenangan yang terus mencengkam jiwa. Betapa saya merasakan kehilangan!



Dan hingga kini. Bayangan mereka terus menghantui saya. Berlegar-legar di bilik pemulihan khas ini. Menemani saat saya duduk sendirian.

"Doa cikgu sentiasa mengiringi sepanjang hidup kalian. Betapa kasihnya cikgu pada kamu". Dan entah untuk kali yang ke berapa....air mata saya tertumpah lagi!


BETAPA MEREKA SAYA RINDUI! 

Rabu, 17 Ogos 2011

KEHILANGAN

Posted by CIKGU ROS at 4:15 PTG 0 comments
Pagi itu Kak Lia tidak seceria mana. Malahan ketika saya menyapanya, dia hanya mengangkat kening. Acuh tak acuh pada saya. Membuatkan saya tertanya-tanya.


Jam di tangan ketika itu menunjukkan jam 7 pagi. Belum ada rakan setugas lain yang datang. Hanya kami berdua di bilik guru ketika itu.
Sekadar gambar hiasan. Bersama Wan Mariam dan Aliza.
"Kak Lia...nak share sesuatu ke?" Bisik saya. Perlahan-lahan kak Lia saya rapati. Menarik kerusi lalu duduk di sebelahnya. 

Kak Lia menoleh ke arah saya. Lalu matanya saya renung dalam-dalam. Ada kesedihan di situ. Ada sendu dari dalam hati Kak Lia.


"Forget it la. Cuma perkara kecik je." Balas Kak Lia. Cepat-cepat melarikan pandangan matanya. Masih mahu menyembunyikan sesuatu dari saya.


"Perkara kecik...kalau dibiarkan akan menjadi besar. Cerita pada saya. Mungkin saya boleh tolong. Please....."Pancing saya.


"Sebenarnya akak merajuk pada abang Jef." Kak Lia melepaskan apa yang terbuku dalam dada. Pancing saya sudah mengena!


"Apasal?"


"Kami keluar makan berdua malam tadi. Semasa nak menyeberang jalan, akak pegang tangan abang Jef. Tapi...." Kata-kata Kak Lia tergantung di situ.
Pemandangan waktu malam di Waterfront Balik Bukit, Kuala Terengganu.
"Tapi....?"Saya kehairanan.


"Tiba-tiba abang Jef tepis tangan akak. Abang Jef tegur akak. Abang Jef kata kalau nak bermanja jangan terang-terangan. Malu kat orang ramai. Terkedu akak dibuatnya."


"Mungkin abang Jef selesa kalau akak bermanja-manja kat rumah je kot." Ulas saya. 

Di ruang mata terbayang wajah abang Jef yang selalu mengusik saya. Selalu membuat saya ketawa. Tapi peliknya begitu serius di hadapan isteri sendiri!


"Tapi masalahnya kat rumah pun akak kena 'sound' gak. Tak boleh nak bermanja terang-terangan.....malu kat anak-anak."


"Kenapa ye? Cuma setakat berpegangan tangan. Lagipun akak dan abang Jef bukannya sesiapa...pasangan suami isteri yang sah." Saya menduga.


"Entahlah. Akak pun tak faham. Mungkin abang Jef fikir kemesraan suami isteri hanya dalam bilik tidur sahaja." Keluh Kak Lia.
Sekadar gambar hiasan. Pemandangan di muara Sungai Marang, Terengganu


"Kak Lia...sebenarnya abang Jef tak pernah merasa kehilangan. Sebab tu dia tak pandai nak menunjukkan kasihnya. Agaknya perkataan sayang pun abang Jef tak pernah ucapkan pada Kak Lia sejak berkahwin." Teka saya.


"Betul Ros. Memang tak pernah. Nak bergurau senda jauh sekali."


"Ramai suami yang macam ni Kak Lia. Tak pernah merasa kehilangan. Tak pernah merasa ditinggalkan. Tak pernah rasa diabaikan. Hingga tak pernah nampak pengorbanan isteri. Yang sanggup mengorbankan apa saja yang mereka ada. Semata-mata untuk suami tercinta." Kak Lia mengangguk-anggukkan kepalanya.




"Buatlah sesuatu Kak Lia. Biar abang Jef rasa kehilangan." Jolok saya.


"Apa maksud Ros?" Kak Lia terpaku. Bulat matanya memandang saya.


"Selama ini Kak Lia sentiasa ada untuk abang Jef. Hinggakan dia tak pernah merasakan kehilangan Kak Lia." Jolok saya lagi.
Sekadar gambar hiasan....di Tasik Kenyir, Terengganu.
"Akak faham. Akak tau apa akak nak buat nanti. Terima kasih Ros." Mata Kak Lia bersinar-sinar. Kak Lia mengukir senyuman. Senyumannya saya balas balik. Tapi dalam hati hanya Tuhan yang tahu perasaan saya!






Dan setiap malam selepas itu tidur saya selalu terganggu. Termimpi-mimpi Kak Lia lari dari rumah. Berdiri dengan beg besar di depan rumah saya. 

Manakala abang Jef mengamuk sakan. Mengejar saya dengan senapang. Membuatkan saya lari lintang pukang menyelamatkan diri. Hingga tak cukup tanah dibuatnya.


"Padan muka aku. Pandai-pandai bagi nasihat kat orang. "Gelak saya sendiri. Ketika terjaga dari mimpi.Mentertawakan diri sendiri di tengah malam.


"Ya Allah.....semoga tidak ada perkara buruk berlaku dalam rumahtangga mereka." Doa saya diam-diam sebelum melelapkan mata semula. Mengharap mimpi buruk ini tidak menjadi nyata!



Isnin, 8 Ogos 2011

BETAPA AKU MERINDUINYA

Posted by CIKGU ROS at 12:24 PTG 0 comments


Setelah 13 tahun bapak pergi........

Betapa kini saya merinduinya. Rindu yang amat. Hinggakan saya lebih rela mendengar suara amarahnya. Ketika saya berdegil . Enggan menerima buah pendapatnya. Dari melihat bapak saya mendiamkan diri terbujur kaku . Di hari kematiannya!
Betapa aku merinduimu.........
Setelah 13 tahun berlalu. Betapa kini saya merinduinya. Hinggakan saya lebih rela melihat jelingan marahnya. Ketika saya memberontak. Membidas segala kata-katanya. Dari melihat mata bapak saya terpejam rapat .Di hari dia meninggalkan kami sekeluarga untuk selamanya.

"Ya Allah...ampunilah dosa-dosa arwah bapaku. Kasihani dan sayangilah dia. sebagaimana dia menyayangiku sewaktu aku kecil......" Dan air mata menitik satu-satu. Tak mampu saya membendungnya lagi!


Dan betapa saya merinduinya!

Selasa, 28 Jun 2011

CERAI HIDUP SEORANG RAKAN SAYA 2

Posted by CIKGU ROS at 8:22 PTG 1 comments

Saya asyik membelek sehelai blouse biru ketika itu. Di sebuah pasaraya di Kuala Terengganu. 

Bila tiba-tiba ada jari mencuit-cuit bahu saya. Menyebabkan tumpuan saya terganggu. Lalu saya menoleh geram ke arah orang yang mengganggu saya.

"Pia?"

"Ros!" 

Dan kami berpelukan. Menjerit kesukaan. Seperti kanak-kanak  yang menemui semula barang permainan yang pernah hilang!

Ini merupakan pertemuan semula saya dan Pia. Setelah sekian lama terpisah. 

Ini kerana selepas bercerai, Pia tiba-tiba memohon bertukar sekolah. Keluar dari daerah  Kuala Terengganu. 

Dan ketika permohonan itu berjaya, saya begitu sedih sekali.

Namun Pia seakan mengerti gelodak hati saya. Lalu berjanji akan terus menghubungi saya. Dan Pia mengotakan janjinya.

Hinggalah apabila saya kehilangan telefon bimbit. Akibat satu kejadian ragut  di MelakaMenyebabkan kami terputus hubungan selepas itu. 

Dan ada sewaktu-waktunya saya diburu kenangan bersama Pia. Betapa saya selalu merindui gelak ketawa Pia!

Kini Pia berdiri di depan mata. Masih tetap seperti dulu. Manis dan ceria.

Rindu saya pada Pia belum berkurangan. Lalu Pia saya tarik ke tepi. Dan kami bertukar-tukar cerita. 

Dari satu cerita ke cerita yang lain. Tanpa mempedulikan pandangan pelanggan-pelanggan lain.


Hinggalah Pia akhirnya mengaku sudah berkahwin lagi. Perkahwinan kali ini dengan suami rakan setugasnya di sekolah baru. Mereka berkahwin di selatan Thailand.


Menurut Pia lagi, hingga kini isteri pertama suaminya  belum mengetahui mengenai perkahwinan itu. 

Pia pula berlagak biasa ketika terserempak dengan madunya di sekolah. Seolah-olah tidak ada apa-apa berlaku.
 
"Berdosakah saya Ros!" Pia tiba-tiba bersuara.   

Saya menggaru-garukan kepala yang tidak gatal. Serba salah untuk memberikan jawapan.


"Betul ke tindakan saya Ros?" Pia terus mendesak.


"Pia...tiap apa yang berlaku bukan kebetulan. Tapi semuanya dalam perancangan Allah. Sebab Allah Maha Tahu."

"Apa maksud kamu?"

"Kamu tak berdosa pun Pia. Semuanya sudah tersurat. Memang jodoh kamu dengan dia." Saya memberikan jawapan.
Sekadar gambar hiasan. 

Bibir  Pia menguntumkan senyuman. Manis sekali. Mungkin berpuas hati kerana saya menyetujui tindakannya.

"Tapi kalau saya berada di tempat isteri pertama....teruk kamu saya kerjakan. Hingga ke hujung dunia pun saya cari. Patah sayap terbang jua!"

"kalau tak jumpa?"

"Saya bomohkan kamu. Biar kamu hidup merana.......". 

Ayat saya tergantung di situ. Tak sampai hati menghabiskan apa yang terbuku di dalam hati. 

Wajah ria Pia pula tiba-tiba bertukar sedih. Mungkin tidak menduga saya boleh mengeluarkan kata-kata sekejam itu!

Dan akhirnya pertemuan saya dan Pia petang itu berakhir jua. Sebelum berpisah, kami berpeluk-pelukan. Saling berjanji akan terus berhubungan.


Ketika membalas lambaian tangan Pia, tiba-tiba saya terfikir. Rahsia ini pasti terbongkar satu masa nanti. Setidak-tidaknya di hari kematian suaminya.



Bagaimanakah agaknya reaksi madu Pia nanti. Setabah manakah dia menghadapi kenyataan. 

Bahawa suaminya pernah membahagi kasih, rumah, dapur dan tempat tidur!

Dan lebih pahit lagi, rumahtangganya dikhianati oleh wanita  yang begitu dekat di hatinya!

Dan ketika mahu melangkah keluar dari pasaraya itu, hujan mula turun membasahi bumi. 

Renyai-renyai dan akhirnya mulai lebat. Selebat hujan di dalam hati saya!

"Semoga kamu berbahagia di dunia dan akhirat!" 

Dalam diam saya memanjatkan doa. Untuk seorang sahabat bernama Pia!

 Pia, sahabat yang pernah menangis teresak-esak di depan saya satu masa dahulu. Kecewa kerana ada wanita yang tega menjadi duri dalam rumahtangganya. 

Namun kini Pia pula yang menjadi duri itu!


"Pia................." Tangis saya dalam hati!



Isnin, 27 Jun 2011

HARUSKAH AKU

Posted by CIKGU ROS at 6:48 PTG 0 comments
Haruskah aku akui
duniaku sudah terhenti
padahal tidak termetri
tempatku harus di sini
karna aku masih mampu berlari


Haruskah aku berserah
sekadar berkeluh kesah
melihat tuguku yang rebah
padahal aku bukan pengalah
masih mampu mencipta sejarah!

Haruskah aku?
 

Catatanku, Memoriku Copyright © 2010 Design by Ipietoon Blogger Template Graphic from Enakei