Sabtu, 12 November 2011

MANTERA HUJAN LEBAT!

Posted by CIKGU ROS at 8:51 PTG
"Hujan lebat-lebat
kambing biri-biri
lekas cari ubat
Cik Minah sakit gigi"

Ketika di zaman kanak-kanak, saya dan kawan-kawan sepermainan selalu menyanyikan lagu ini. Terutama sekali ketika hujan turun rintik-rintik. 

Saya tidak pasti mengapa. Tapi saya begitu percaya. Begitu juga Leha, Zai, Suminah, Ruslan, Sham dan Inah. Bahawa ini mantera mengundang hujan lebat. 

Jika hujan tiba-tiba berhenti, kami akan mengeluh kehampaan. Tetapi jika hujan terus turun dengan lebat.....kami akan meluru ke halaman rumah

Melompat-lompat dengan girang. Membiarkan air hujan membasahi tubuh.




Emak selalu melarang saya bermain hujan. "Nanti demam." Larang emak berkali-kali. Tapi saya selalu berdegil. 

"Bapak kamu pun satu. Dibiarnya Ros bermain hujan." Rungut emak. Marah kerana bapak tidak pernah menegah kegilaan saya. 

Tapi saya tahu. Setiapkali hujan lebat, emak berdiri di sebalik tingkap rumah ketika itu. Mengawasi    saya dan teman-teman!

Selepas puas bermain hujan, kawan-kawan berlari pulang. Begitu juga saya. Dan seperti biasa emak berdiri di muka pintu. Menunggu saya seperti orang salah! 




Emak akan berleter sambil menunggu saya menyalin pakaian. Saya yang tidak tahan dileteri akan melarikan diri. Selalunya bersembunyi di bawah katil. Menyusup keluar bila kemarahan emak telah reda! 


"Emak tak pernah faham betapa seronoknya bermain hujan". Getus  saya. Dan kegilaan bermain hujan terus berlaku setiapkali hujan lebat!

Hinggalah satu hari. Suminah   tiba-tiba jatuh sakit. Demam berminggu-minggu. 

Saya dan kawan-kawan menziarahinya setiap hari. Berharap Suminah akan sembuh kembali. Sedih rasanya melihat sahabat kami terbaring lesu.  


Tetapi Suminah kami 'pergi' jua. 

Pada hari pengebumiannya, saya dan teman sepermainan yang lain  diberi peluang menatap jenazahnya buat kali yang terakhir. Sayu rasanya menatap wajah dingin Suminah. 

Dan ketika kain kapan menutup muka Suminah, saya terasa seperti Suminah membawa pergi sama semua kegembiraan yang pernah kami kongsi bersama!


Kematian Suminah meninggalkan kesan mendalam di dalam hati saya. Begitu juga kepada kawan-kawan lain. 


"Suminah mati sebab suka mandi air hujan!" Momok orang-orang kampung.

Ianya begitu menakutkan saya dan kawan-kawan. Kami tidak mahu kehilangan seorang lagi 'Suminah'

Dan perlahan-lahan mantera mengundang hujan lebat dilupai begitu saja.Tiada lagi gelak tawa kegirangan setiapkali hujan lebat.




Bertahun kemudian. Satu petang  saya  sendirian di halaman rumah ketika hujan turun . Rintik-rintik dan semakin lebat.

Seperti kilat saya teringat mantera memanggil hujan saya. Perlahan-lahan berdendang di dalam hati. Saya terpaku!


Betapa saya berharap  ketika itu. Arwah emak berdiri di sebalik tingkap. Mengawasi saya. 

Sepertimana saya berharap seseorang menemani saya bermain air hujan. Melompat-lompat  kegirangan . Seperti dulu-dulu.


"Suminah". Hati saya bergetar!

0 comments:

 

Catatanku, Memoriku Copyright © 2010 Design by Ipietoon Blogger Template Graphic from Enakei