Ahad, 19 Jun 2011

CERAI HIDUP SEORANG RAKAN SAYA

Posted by CIKGU ROS at 10:34 PTG

Petang itu hanya saya dan Pia di padang sekolah. Mengawasi murid-murid yang sedang berlatih bola baling. 

Ada perlawanan persahabatan bakal berlangsung hujung minggu itu. Dengan sekolah jiran.


Sekadar gambar hiasan.



Lalu, saya mengambil kesempatan. Mahu mencungkil kebenaran dari Pia sendiri .

Perihal berita panas tentang dirinya .Yang mula bertiup kencang di sekolah akhir-akhir ini.


Beberapa bulan sebelum ini Pia  pernah mengadu pada saya. Perihal rumahtangganya. Goncang gara-gara kehadiran orang ketiga.

Malahan Pia juga pernah menunjukkan kepada saya. Lebam-lebam di tubuh. 'Bekas'  sepak terajang suami. Yang marah bila dipersoal kenapa ada kekasih lain!

Pia cuma tersenyum ketika saya mengajukan soalan. Mengangguk tidak. Menggeleng pun tidak.  Membiarkan saya berteka-teki.


"Betul Ros, memang kami dah bercerai!"  Pia akhirnya mengaku. Saya terpaku. 

"Begini akhirnya kisah rumahtangga Pia!" Getus saya dalam hati. Jauh di sudut hati simpati dan kesedihan mula merona.

Sekadar gambar hiasan. (Ini bukan gambar bersama Pia sebenar)

Pia tiba-tiba mengeluh. Seolah-olah sedang menanggung tekanan jiwa yang amat berat.

Dalam diam matanya saya renung dalam-dalam. Ada kepedihan yang sukar dimengertikan.

"Kenapa dengan kamu. Kamu ada masalah kewangan ke?" Terbak saya.

Pia cuma menggelengkan kepala.

 "Kamu dah bebas sekarang. Apa lagi yang kamu keluh kesahkan?"

"Ros, hidup  menjanda lebih susah dari zaman anak dara sebenarnya."

"Apa maksud kamu?" saya kehairanan.

Pia tiba-tiba menekan sesuatu di telefon bimbitnya. Lalu dihulurkan kepada saya. Saya terpinga-pinga. kebingungan!


Di skrin telefon bimbit Pia, saya melihat beberapa ayat sms yang tertera. Kata-kata merayu dan menggoda.  Saya terkasima.

"Siapa pengirimnya?" tanya saya. Selama ini tiada rahsia antara kami. Dan saya tahu. Pia akan membongkar rahsia sms itu.

Saya membeliakkan mata ketika Pia membisikkan nama pengirim sms itu. Saya menggelengkan kepala. Tanda tidak percaya

Dan Pia hanya ketawa kecil. Mempersendakan ketidak percayaan saya.


"Ros, saya pun mula-mula tidak percaya. Tapi itulah hakikatnya." Tegas Pia.

Saya terbayangkan wajah pengirim yang Pia maksudkan. Bukan orang lain sebenarnya.Sebaliknya rakan setugas kami

"Ros, sebenarnya bukan  ini saja. Ada banyak lagi sms yang saya terima. Isinya hampir serupa. Dari beberapa orang lagi. kalau saya sebutkan namanya kamu tak akan percaya."


"Kamu layan ke sms dia orang nie?"

" Saya bukannya kemaruk sangat nak bersuami lagi Ros. Hinggakan suami orang pun saya gilakan"

Saya percaya Pia berkata benar. Selama ini Pia tidak pernah menipu saya!

Sekadar gambar hiasan. (Ini bukan gambar bersama  Pia sebenar!)


Wajah baru Pia saya renung. Saya tersenyum. Pia kehairanan.


"Kenapa kamu tersenyum?" Tanya Pia.

"Sejak bergelar 'janda' kamu semakin manis. Semakin cantik.Patut la Mr.X terpikat kat kamu".

"Betul ke?"

"Betul!"

"Patut la bekas suami aku gila talak sekarang. Tiap-tiap hari melintas rumah berpuluh-puluh kali. Telefon dan sms bersilih ganti bertanya khabar."

"Pelik manusia nie ye Pia. Ketika ada tak dipeduli. Bila hilang baru tercari-cari.

Pia hanya mengangguk-anggukkan kepala. Menyetujui  kata-kata saya. 


Dan perbualan kami tamat di situ. Murid-murid saya sudah menamatkan latihan di gelanggang. Semuanya berlari-lari menuju ke arah kami di tepi padang . 

Masing-masing riuh memanggil nama saya dan Pia. Dan saya tidak mahu mereka mendengar butir bicara saya dan Pia.



 Ketika menghulurkan gelas minuman,  satu demi satu wajah anak murid saya renung. 

Dalam diam saya memanjatkan doa untuk mereka.... "Ya Allah, semoga tiada di antara mereka mengalami nasib seperti Pia nanti. Amin."

0 comments:

 

Catatanku, Memoriku Copyright © 2010 Design by Ipietoon Blogger Template Graphic from Enakei