Hujan masih turun. Sejak semalam lagi. Hati saya betul-betul gundah dibuatnya.
"Rosaklah program jika hujan turun tidak berhenti-henti." Rungut saya sendirian.
Manakan tidak. Perkhemahan Kem Kepimpinan Pengakap sekolah saya dengan usahasama pengakap laut UMT akan bermula hari ini hingga esok.
Ianya telah dirancang sejak tiga bulan yang lalu. Anak-anak pengakap saya begitu ternanti-nanti detik ini.
Jika hujan masih turun, bermakna banyak aktiviti yang dirancang oleh pengakap laut UMT akan terencat. Alangkah kecewanya mereka nanti
Sejujurnya, tahun ini saya terlalu sibuk dengan aktiviti luar sekolah. Hingga tumpuan pada aktiviti pengakap sekolah agak kurang.
Hinggakan anak-anak pengakap saya selalu merungut tentang hal itu. Membuatkan saya rasa bersalah pada mereka.
Justeru itu, saya berharap. Agar perkhemahan kali ini dapat mengubat sedikit kekecewaan mereka.
Biarlah ianya menjadi memori terindah. Terutamanya ahli tahun 6 yang akan meninggalkan sekolah 3 minggu lagi.
" Ya Allah....bantulah saya. Sesungguhnya Engkau Maha Tahu." Saya pasrah!
"Mak dah tua. Entah esok atau lusa, mak akan mati". Kata mak. Saya cuma ketawa mendengarnya.
"Apa nak diherankan pasal mati. Semua yang hidup akan mati. Entah-entah saya yang muda ni pun akan mati dahulu". Bidas saya.
"Kamu jangan mati dahulu sebelum mak". Ada hiba di hujung suara emak.
"Kalau kamu mati dulu, tak ada yang akan hantar duit belanja untuk mak setiap bulan".
"Wah, mak saya mata duitan rupa-rupanya." Gurau saya.
"Mak jangan bimbang. Kalau saya mati dahulu, duit pencen saya kan ada. Duit belanja untuk mak tetap ada. Sehingga penghujung nyawa ." Tambah saya lagi. Tawa mak kedengaran di hujung talian. Dan saya lega mendengarnya. Saya tahu mak sengaja mahu menguji saya.
Mak saya bukan orang susah. Harta peninggalan arwah bapak ada. Tanpa wang kiriman bulanan saya pun mak masih boleh hidup
.
Tapi peliknya, duit kiriman saya yang tidak seberapa itu sentiasa bermain di mulut emak. Mak selalu menceritakan dengan bangga hal itu kepada jiran-jiran. Begitu juga kepada saudara mara. Hingga naik segan saya dibuatnya.
"Duit yang saya kirim tiap bulan bukannya banyak sangat. Mak tak payahlah cerita kat orang lain." Luah saya satu hari. .
"Hiss........Sikit atau banyak tak penting bagi mak. Tapi pemberian dari orang yang kita sayang amat berharga." Jawab mak lembut. Mata redup mak merenung saya. Dengan penuh kasih . Mengunci terus mulut saya.
"Mak....." Getar hati saya.