Selasa, 16 Oktober 2012

HINGGA PENGHUJUNG NYAWA....

Posted by CIKGU ROS at 6:55 PTG

"Mak dah tua. Entah esok atau lusa, mak akan mati". Kata mak. Saya cuma ketawa mendengarnya.

"Apa nak diherankan pasal mati. Semua yang hidup  akan mati. Entah-entah saya yang muda ni pun akan mati dahulu". Bidas saya.

"Kamu jangan mati dahulu sebelum mak". Ada hiba di hujung suara emak.

"Kenapa pula?" 

"Kalau kamu mati dulu, tak ada yang akan hantar duit belanja untuk mak setiap bulan".

"Wah, mak saya mata duitan rupa-rupanya." Gurau saya. 
"Mak jangan bimbang. Kalau saya mati dahulu, duit pencen saya kan ada. Duit belanja untuk mak tetap ada. Sehingga penghujung nyawa ." Tambah saya lagi. Tawa mak kedengaran di hujung talian. Dan saya lega mendengarnya. Saya tahu mak sengaja mahu menguji saya.

Mak saya bukan orang susah. Harta peninggalan arwah bapak ada.  Tanpa wang kiriman bulanan saya pun mak masih boleh hidup
.
Tapi peliknya, duit kiriman saya yang tidak seberapa itu sentiasa bermain di mulut emak. Mak selalu menceritakan dengan bangga hal itu kepada jiran-jiran. Begitu juga kepada saudara mara. Hingga naik segan saya dibuatnya.

"Duit yang saya kirim tiap bulan bukannya banyak sangat. Mak tak payahlah cerita kat orang lain." Luah saya satu hari. .

"Hiss........Sikit atau banyak tak penting bagi mak. Tapi pemberian dari orang yang kita sayang amat berharga." Jawab mak lembut. Mata redup mak merenung saya. Dengan penuh kasih . Mengunci terus mulut saya.

"Mak....." Getar hati saya.

0 comments:

 

Catatanku, Memoriku Copyright © 2010 Design by Ipietoon Blogger Template Graphic from Enakei