Jumaat, 14 Januari 2011

HARTA PUAKA

Posted by CIKGU ROS at 12:03 PTG 0 comments
Satu malam, saya bermimpi. Bapak membawa saya berjalan-jalan. Sambil memimpin tangan saya. Sama seperti ketika  di zaman kanak-kanak saya dahulu.

Sepanjang pertemuan itu, bapak hanya mendiamkan diri. Tidak berbicara walau sepatah pun.

Hanya wajahnya memancarkan kesedihan. Membuatkan  saya tertanya-tanya. Mengapakah bapak saya begitu bersedih?

Mimpi itu begitu berbekas di hati saya. Berhari-hari saya memikirkannya. Tertanya-tanya di dalam hati. Apakah maksud mimpi itu?

Tertanya-tanya dalam hati. Apakah maksud mimpi itu?

Hinggalah seminggu kemudian, adik saya menelefon. Memberitahu bahawa emak saya di kampung sedang susah hati.

Gara-gara Mak Uda saya mengungkit pada emak. Bahawa arwah bapak pernah berjanji. Mahu menyerahkan sebidang tanah kebun kepadanya.

Sekadar gambar hiasan

Bapak dikatakan pernah meminjam wang sebanyak RM200. Untuk membayar cukai tanah tersebut ketika itu.

Dan sebagai gantinya, bapak saya akan menyerahkan tanah kebun tersebut. Macam tak logik mendengarnya!

Menurut adik saya lagi, emak sendiri tidak tahu  perihal perjanjian itu. Arwah bapak tidak pernah menyebutnya. Tidak pernah, walau sekalipun!

Cerita adik membuatkan saya kehairanan sendiri. Mengapa perihal perjanjian ini timbul setelah bapak tiada.

Mengapa tidak ketika arwah bapak masih hidup. Pelik benar saya dibuatnya.

Seperti kilat saya teringatkan mimpi saya semula.  Dalam mimpi itu, bapak membawa saya ke sebuah kampung.

Di situ, kami menyaksikan seseorang sedang membakar sebuah rumah. Akhirnya  teka teki mengenai mimpi saya itu terjawab jua!
Saya dan bapak menyaksikan seseorang sedang membakar rumah.
Saya bukan pakar mentafsir mimpi. Tetapi, gerak hati saya kuat mengatakan .

Satu pergeseran dalaman ahli keluarga akan berlaku. Api dalam mimpi melambangkan pergaduhan!

Lalu dihujung minggu itu , saya bergegas balik ke kampung. Menaiki bas. Sendirian menikmati suasana malam.

Di kampung, emak bagai dapat meneka gelojak hati saya. Belum sempat saya bertanya, emak terlebih dahulu memberikan jawapan.

"Emak dah buat keputusan. Emak nak ikut aje permintaan Mak Uda kamu." Emak bersuara terlebih dahulu. Sebelum sempat saya membuka mulut.

"Emak tak boleh buat macam tu. Tanah tu milik arwah bapak." Tegas saya.

"Kenapa nak digaduhkan tanah sekangkang kera tu. Mati esok tinggal semuanya."

"Tapi...mak ada hak untuk tolak kehendak Mak Uda tu!" Saya masih tidak berpuas hati. Tidak mahu mengalah. Geram hati saya mendengar jawapan emak.

"Emak tak mahu bergaduh dengan Mak Uda kamu. Kesian arwah bapak kamu di alam kubur. Mesti dia bersedih. Adik dan anak-anaknya berebutkan harta yang dia tinggalkan."

Sayu sungguh suara emak. Ada air mata yang mula bergenang di kelopak mata emak. Dan saya tahu, saya perlu menamatkan perbincangan kami setakat di situ sahaja.

Mimpi saya bersama arwah bapak tidak saya ceritakan kepada emak. Saya tidak mahu menambah duka di hati emak.

Dan malam itu saya bergegas balik. Saya ada rencana saya sendiri!
Secara jujurnya, saya tidak terkejut dengan keputusan emak itu. Saya sudah menduganya! 

Saya kenal sangat hati budi emak. Emak saya seorang yang pemurah. Selain itu selalu mengalah. Jarang melawan.

Lebih tepat lagi tidak suka melibatkan diri dengan pergaduhan.  Sikap emak jauh bezanya dengan saya.

"Macam langit dengan bumi." Arwah bapak  pernah membandingkan sikap kami berdua.

"Tidaklah. Saya pun baik hati macam emak." Lawan saya balik.

Bapak  cuma tersengih mendengarnya ketika itu. Tetapi jauh di sudut hati,  saya membenarkan kata-kata arwah bapak saya itu.

Balik dari kampung, saya segera menelefon adik beradik saya yang lain. Berbincang dari hati ke hati. Seorang demi seorang saya hubungi.

Kakak-kakak saya secara peribadi menentang permintaan Mak Uda saya itu. Tetapi mereka tidak mahu menyanggah pendapat emak.

Tidak mahu melihat emak bersedih. Apatah lagi hingga membuatkan emak  menangis.

Ini membuatkan saya kecewa.  Bercakap dengan mereka sama seperti bercakap dengan emak saya!

Lalu saya menghubungi abang-abang saya pula. Mereka pada awalnya tidak mahu membantah pendapat emak.

Tetapi saya bertegas. Tanah milik bapak harus dipertahankan!

Saya luahkan apa yang terpendam di dalam hati. Secara jujurnya, saya tidak mengimpikan pun tanah itu akan jadi milik saya. Tidak sesekali. Kerana saya mampu memiliki harta dengan pendapatan saya sendiri!

Tapi tanah itu tanah milik bapak. Untuk memilikinya, bapak  sanggup berkorban apa saja. Tenaga, wang ringgit, masa, keringat  dan apa saja.

Tetapi mengapa anak-anak bapak tidak seorang pun yang berani untuk mempertahankanya!

Saya jelaskan lagi. Di mata saya, tanah itu adalah sebahagian  kenangan mengenai bapak.

Maka menyerahkannya kepada orang lain, sama seperti menggadaikan maruah keluarga anak-anak bapak.

"Hari ni tanah dua ekar tu diminta. Esok lusa tanah-tanah yang lain pula direngekkan. Silap hari bulan, tanah tapak rumah emak duduk sekarang  pun dikejar." Tegas saya.

Sengaja menjolok Abang Long saya. Dan jolokkan saya mengena!

Tidak lama kemudian, Abang Long pergi menemui Mak Uda. Saya tidak turut serta dalam pertemuan itu. Hanya mendengar cerita.

Bagaimana Abang Long saya begitu bersemangat melawan setiap hujah Mak Uda  saya. Hingga Mak Uda  saya kehilangan kata-kata.

Dan selepas itu, apa yang emak bimbangkan menjadi kenyataan. Hubungan kami dengan Mak Uda saya menjadi keruh. Tidak semesra dulu lagi. Kami dianggap seperti musuhnya.

Dan kerana sayalah penentang paling kuat hasratnya. Berdegil tidak setuju dengan hasratnya. Maka saya dianggap musuhnya paling utama.....saya tahu itu.

Tapi saya tak kesah. Kerana tanah milik bapak itu tetap milik kami!

Beberapa bulan kemudian, bapak datang lagi.  Menziarahi saya dalam mimpi.

Saya cuba memeluk bapak.  Mahu melepaskan resah rindu saya. Tapi peliknya, saya hanya memeluk angin.

Bapak  hanyalah seperti  bayang-bayang. Boleh dipandang. Tapi tak boleh dipegang.

Kedatangan bapak kali ini dalam situasi berbeza. Tidak ada lagi garis kesedihan yang terpancar.   Mukanya bercahaya.

Bapak tersenyum lebar pada saya. Memandang saya dengan penuh kasih sayang. Saya tahu, bapak menyetujui tindakan saya perihal tanahnya. 
"Terima kasih bapak, kerana menyokong saya." Ucap saya ketika tersedar dari mimpi.

Peristiwa perebutan harta keluarga ini berlaku beberapa tahun dahulu. Sengaja saya angkat kembali dalam bentuk penulisan di sini.

Bukan bermaksud  mahu membuka pekung di dada. Bukan juga berhasrat  mengaibkan nama keluarga sendiri. Tidak sesekali!

Cuma berharap mungkin cerita ini boleh dijadikan iktibar.  Kepada sahabat-sahabat saya di luar sana.

Bahawa harta pusaka, jika tidak kena caranya. Boleh bertukar menjadi harta puaka

Jumaat, 7 Januari 2011

SIAPA SEBENARNYA.......

Posted by CIKGU ROS at 10:32 PG 0 comments
Satu petang saya menyiapkan kerja sekolah dengan menggunakan komputer.  Sambil bersembang-sembang dengan beberapa orang anak murid. Di laman sembang 'facebook'.


Ketika itu musim cuti sekolah. Banyak perkara yang mahu mereka ceritakan kepada saya. Tujuh orang  anak murid, dengan tujuh cerita yang berbeza. Di tujuh situasi berlainan. Namun dengan kecanggihan dunia teknologi, kami bertemu di alam maya. Pada masa yang sama!



Kami begitu seronok bercerita. Hingga tidak sedar hari sudah lewat petang. Saya segera meminta izin mengundur diri. Untuk mengerjakan solat Maghrib. Lalu kami berbalas ucap selamat tinggal. Dan berjanji akan menyambung semula perbualan kami di lain waktu!



Selesai berbalas ucap selamat tinggal dengan mereka, saya bergegas mengerjakan solat .  Waktu  Maghrib sudah hampir habis ketika itu. Manakala komputer saya biarkan begitu sahaja. Kerana ada kerja yang mahu saya kerjakan, seusai solat nanti.

Sekadar gambar hiasan.


Habis solat Isyak, saya menuju ke komputer riba semula. Ketika menatap skrin komputer, mata saya terpaku. Rupanya ada seorang lagi anak murid saya yang masih online.


Saya terlalu tergesa-gesa tadi. Tidak sedar hanya  sempat mengucapkan salam perpisahan kepada enam orang anak murid saya yang lain. Manakala seorang lagi, saya tinggalkan pergi  begitu saja. Termangu-mangu sendiri. Tanpa ucap selamat tinggal. Tanpa sebarang penjelasan. Bahawa saya mahu meninggalkan komputer ketika itu!


Dan anak murid seorang ini menyangka saya masih di hadapan komputer lagi. Menduga saya masih sibuk dengan kerja. Hingga tidak mengerjakan sembahyang!


Lalu beliau menunggu saya dengan setia. Sambil menulis banyak catatan peringatan untuk saya.  Namun catatan berikut begitu menyentuh hati saya.

Cikgu....
Pergilah sembahyang cikgu
tak baik cikgu


Kalau cikgu tak sembahyang
Nanti Tuhan marah
Guru besar marah
Cikgu-cikgu marah
Kawan-kawan pun marah

Cikgu
Pergilah sembahyang.... cikgu!



 Saya ketawa ketika membaca catatan anak murid saya itu. Tertanya-tanya dalam hati......siapa yang tidak mengerjakan sembahyang sebenarnya.

Namun kerana terharu dengan peringatannya terhadap saya. Lalu dihujung catatannya saya tuliskan  ..............................................
TERIMA KASIH SAYANG!

Rabu, 5 Januari 2011

TUHAN BAYAR 'CASH'

Posted by CIKGU ROS at 9:05 PTG 0 comments
Satu petang, Kak Nani datang ke rumah. Mencari kakak saya. Mereka duduk berbual-bual di luar rumah. Di atas bangku kerusi. Di bawah pokok manggis di depan rumah kami.

Saya tahu, ada perkara penting yang mahu mereka bincangkan. Kedua-duanya  berwajah serius. Tidak seceria selalu.



Sekadar gambar hiasan


Kak Nani adalah teman sepermainan kakak sejak kecil. Keakraban mereka berterusan hingga masing-masing menginjak alam remaja. Saya tahu, banyak rahsia yang mereka kongsi bersama. 


Malam itu, saya dan kakak berbual-bual di atas katil. Rutin biasa sebelum melelapkan mata.

Tetapi malam itu kakak tidak seceria selalu. Banyak  pertanyaan saya tidak berjawab. Kakak banyak mengelamun. Beberapa kali mengeluh. Seperti ada sesuatu yang merunsingkannya. 


"Kenapa macam ada yang tak kena je malam ni?"  Tanya saya. Meminta jawapan.

"Fikir pasal Kak Nani."

"Kenapa dengan Kak Nani?"

"Ada orang fitnah dia. Sebar cerita dia gugurkan kandungan  anak luar nikah. "


Sekadar gambar hiasan

"Astagfirullahal azim. Betul ke cerita tu?" Saya meminta kepastian.

Lalu kakak menceritakan hal sebenar pada saya. Menurut kakak, Kak Nani ditumbuhi bisul di pangkal paha. Betul-betul berhampiran alat sulitnya.

Tapi ianya diputar belit oleh individu yang tidak memahami cerita sebenar. Hingga timbulnya cerita Kak Nani menggugurkan kandungan anak luar nikah!


"Mana kakak tahu memang bisul? Mungkin memang betul cerita tu. Dengan tunang dia ke"


"Memang betul-betul bisul. Kakak tengok  dengan mata kakak sendiri. Kak Nani tunjuk pada kakak!" Suara kakak meninggi. Menahan marah. Dan saya tahu, ianya memang benar.



Sekadar gambar hiasan


Selepas kejadian itu, keluarga tunang Kak Nani datang memutuskan pertunangan. Dengan alasan Kak Nani tidak lagi suci. Mencemarkan nama baik mereka.

Dan setiap hari, Kak Nani datang ke rumah saya. Melepaskan resah pada kakak.

Dan selalunya setiap pertemuan mereka disudahi dengan air mata. Begitu berat sekali derita yang Kak Nani tanggung! 


Sekadar gambar hiasan

Dan beberapa tahun kemudian Kak Nani bertemu jodoh. Tetapi dengan orang luar, bukan orang kampung kami.  

Selepas melangsungkan perkahwinan, kelibat Kak Nani tiada lagi. Merajuk benar Kak Nani dengan orang kampung. Dan kisah Kak Nani perlahan-lahan  hilang begitu saja.

Bertahun kemudian.  Satu malam saya balik ke kampung. Cuti semester ketika itu.  

Hanya emak yang menyambut kepulangan saya. Menurut kata emak, bapak saya ada urusan penting di luar.

Malam itu bapak saya balik lewat malam. Dari dalam bilik tidur...saya dengar emak berbual-bual dengan bapak di ruang tamu. Tapi dengan nada berbisik. Mungkin tidak mahu saya mendengarnya. Saya semakin curiga.

Keesokan hari, tinggal saya berdua di rumah dengan emak. Bapak keluar lagi. Saya menanyakan hal itu kepada emak.

"Bapak ke mana malam tadi mak?"
"Ke rumah Cikgu Dani. Ada perkara yang bapak kamu nak bincangkan."

"Bincang pasal apa?"

"Hiss...kenapa kamu sibuk-sibuk nak tahu. Ini cerita orang-orang tua." Bentak emak.

"Ala...saya dah dewasa. Kenapa saya tak boleh tahu?" Lawan saya balik. Emak menjengkilkan mata. Saya buat-buat tak tahu.


"Kenapa bapak jumpa Cikgu Dani? Cerita la. Saya mahu tahu." Pujuk saya. 

Emak tersenyum. Mungkin faham benar sifat saya. Selagi tidak memperolehi apa yang saya ingini, maka selagi itu saya tidak akan mengalah!


"Bapak kamu nak tanya sendiri dengan Cikgu Dani. Betul ke cerita tu. Tapi Ckgu Dani kata dia tak buat. Semua tu fitnah. Fitnah orang kampung yang dengkikan kemewahan dan kejayaan dia"


"Fitnah?" 

Lalu emak menceritakan kepada saya. Perihal Cikgu Dani yang sedang berhadapan dengan fitnah. Dituduh mencabul anak muridnya sendiri.

Ini menyebabkan beliau diarahkan  bertugas ke tempat lain. Dan semua jawatan penting kampung yang dipegangnya, terpaksa ditarik balik.  Saya tersenyum pahit mendengar cerita emak.

Emak mungkin sudah lupa. Tapi saya  tidak pernah lupa.

Bahawa saya pernah melihat isteri Cikgu Dani menjaja kisah keguguran Kak Nani itu kepada emak. Bertahun dulu!

Emak juga tidak pernah tahu. Saya melihat, sendiri ,  isteri Cikgu Dani menjaja hal itu kepada jiran-jiran kami yang lain juga.

Saya kecil lagi ketika itu. Di awal persekolahan rendah. Menjadi kelaziman budaya kampung. Kami bebas keluar masuk ke rumah kawan-kawan sepermainan .

Dan ketika itulah saya selalu terserempak isteri Cikgu Dani menjaja cerita Kak Nani keguguran. Kepada ibu kawan-kawan saya. 


Seperti kilat, kisah Kak Nani tergambar semula di ruang fikiran saya. Seakan baru semalam melihat  beliau menangis teresak-esak. Melepaskan rasa sedih pada kakak. 

Betapa  keluarganya menanggung malu. Dan tiada sesiapa yang membela Kak Nani ketika itu!


Dan sekarang, giliran Cikgu Dani sekeluarga  pula dilingkari fitnah. Menghadapi ujian getir, sama seperti apa yang Kak Nani lalui satu masa dahulu.

"Maha kaya Tuhan. Tuhan bayar tunai rupa-rupanya." Bisik saya . Lega.

Saya tersenyum puas. Emak tidak perasan itu.

Dan tangan saya terus ligat mencabut rambut  uban emak, satu demi satu!
 

Catatanku, Memoriku Copyright © 2010 Design by Ipietoon Blogger Template Graphic from Enakei