Jumaat, 7 Januari 2011

SIAPA SEBENARNYA.......

Posted by CIKGU ROS at 10:32 PG
Satu petang saya menyiapkan kerja sekolah dengan menggunakan komputer.  Sambil bersembang-sembang dengan beberapa orang anak murid. Di laman sembang 'facebook'.


Ketika itu musim cuti sekolah. Banyak perkara yang mahu mereka ceritakan kepada saya. Tujuh orang  anak murid, dengan tujuh cerita yang berbeza. Di tujuh situasi berlainan. Namun dengan kecanggihan dunia teknologi, kami bertemu di alam maya. Pada masa yang sama!



Kami begitu seronok bercerita. Hingga tidak sedar hari sudah lewat petang. Saya segera meminta izin mengundur diri. Untuk mengerjakan solat Maghrib. Lalu kami berbalas ucap selamat tinggal. Dan berjanji akan menyambung semula perbualan kami di lain waktu!



Selesai berbalas ucap selamat tinggal dengan mereka, saya bergegas mengerjakan solat .  Waktu  Maghrib sudah hampir habis ketika itu. Manakala komputer saya biarkan begitu sahaja. Kerana ada kerja yang mahu saya kerjakan, seusai solat nanti.

Sekadar gambar hiasan.


Habis solat Isyak, saya menuju ke komputer riba semula. Ketika menatap skrin komputer, mata saya terpaku. Rupanya ada seorang lagi anak murid saya yang masih online.


Saya terlalu tergesa-gesa tadi. Tidak sedar hanya  sempat mengucapkan salam perpisahan kepada enam orang anak murid saya yang lain. Manakala seorang lagi, saya tinggalkan pergi  begitu saja. Termangu-mangu sendiri. Tanpa ucap selamat tinggal. Tanpa sebarang penjelasan. Bahawa saya mahu meninggalkan komputer ketika itu!


Dan anak murid seorang ini menyangka saya masih di hadapan komputer lagi. Menduga saya masih sibuk dengan kerja. Hingga tidak mengerjakan sembahyang!


Lalu beliau menunggu saya dengan setia. Sambil menulis banyak catatan peringatan untuk saya.  Namun catatan berikut begitu menyentuh hati saya.

Cikgu....
Pergilah sembahyang cikgu
tak baik cikgu


Kalau cikgu tak sembahyang
Nanti Tuhan marah
Guru besar marah
Cikgu-cikgu marah
Kawan-kawan pun marah

Cikgu
Pergilah sembahyang.... cikgu!



 Saya ketawa ketika membaca catatan anak murid saya itu. Tertanya-tanya dalam hati......siapa yang tidak mengerjakan sembahyang sebenarnya.

Namun kerana terharu dengan peringatannya terhadap saya. Lalu dihujung catatannya saya tuliskan  ..............................................
TERIMA KASIH SAYANG!

0 comments:

 

Catatanku, Memoriku Copyright © 2010 Design by Ipietoon Blogger Template Graphic from Enakei