Satu malam, saya bermimpi. Bapak membawa saya berjalan-jalan. Sambil memimpin tangan saya. Sama seperti ketika di zaman kanak-kanak saya dahulu.
Sepanjang pertemuan itu, bapak hanya mendiamkan diri. Tidak berbicara walau sepatah pun.
Hanya wajahnya memancarkan kesedihan. Membuatkan saya tertanya-tanya. Mengapakah bapak saya begitu bersedih?
Mimpi itu begitu berbekas di hati saya. Berhari-hari saya memikirkannya. Tertanya-tanya di dalam hati. Apakah maksud mimpi itu?
![]() |
Tertanya-tanya dalam hati. Apakah maksud mimpi itu? |
Hinggalah seminggu kemudian, adik saya menelefon. Memberitahu bahawa emak saya di kampung sedang susah hati.
Gara-gara Mak Uda saya mengungkit pada emak. Bahawa arwah bapak pernah berjanji. Mahu menyerahkan sebidang tanah kebun kepadanya.
Bapak dikatakan pernah meminjam wang sebanyak RM200. Untuk membayar cukai tanah tersebut ketika itu.
Dan sebagai gantinya, bapak saya akan menyerahkan tanah kebun tersebut. Macam tak logik mendengarnya!
Menurut adik saya lagi, emak sendiri tidak tahu perihal perjanjian itu. Arwah bapak tidak pernah menyebutnya. Tidak pernah, walau sekalipun!
Cerita adik membuatkan saya kehairanan sendiri. Mengapa perihal perjanjian ini timbul setelah bapak tiada.
Mengapa tidak ketika arwah bapak masih hidup. Pelik benar saya dibuatnya.
Seperti kilat saya teringatkan mimpi saya semula. Dalam mimpi itu, bapak membawa saya ke sebuah kampung.
Di situ, kami menyaksikan seseorang sedang membakar sebuah rumah. Akhirnya teka teki mengenai mimpi saya itu terjawab jua!
Saya dan bapak menyaksikan seseorang sedang membakar rumah.
Saya bukan pakar mentafsir mimpi. Tetapi, gerak hati saya kuat mengatakan .
Satu pergeseran dalaman ahli keluarga akan berlaku. Api dalam mimpi melambangkan pergaduhan!
Lalu dihujung minggu itu , saya bergegas balik ke kampung. Menaiki bas. Sendirian menikmati suasana malam.
Di kampung, emak bagai dapat meneka gelojak hati saya. Belum sempat saya bertanya, emak terlebih dahulu memberikan jawapan.
"Emak dah buat keputusan. Emak nak ikut aje permintaan Mak Uda kamu." Emak bersuara terlebih dahulu. Sebelum sempat saya membuka mulut.
"Emak tak boleh buat macam tu. Tanah tu milik arwah bapak." Tegas saya.
"Kenapa nak digaduhkan tanah sekangkang kera tu. Mati esok tinggal semuanya."
"Tapi...mak ada hak untuk tolak kehendak Mak Uda tu!" Saya masih tidak berpuas hati. Tidak mahu mengalah. Geram hati saya mendengar jawapan emak.
"Emak tak mahu bergaduh dengan Mak Uda kamu. Kesian arwah bapak kamu di alam kubur. Mesti dia bersedih. Adik dan anak-anaknya berebutkan harta yang dia tinggalkan."
Sayu sungguh suara emak. Ada air mata yang mula bergenang di kelopak mata emak. Dan saya tahu, saya perlu menamatkan perbincangan kami setakat di situ sahaja.
Mimpi saya bersama arwah bapak tidak saya ceritakan kepada emak. Saya tidak mahu menambah duka di hati emak.
Dan malam itu saya bergegas balik. Saya ada rencana saya sendiri!
Secara jujurnya, saya tidak terkejut dengan keputusan emak itu. Saya sudah menduganya!
Saya kenal sangat hati budi emak. Emak saya seorang yang pemurah. Selain itu selalu mengalah. Jarang melawan.
Lebih tepat lagi tidak suka melibatkan diri dengan pergaduhan. Sikap emak jauh bezanya dengan saya.
"Macam langit dengan bumi." Arwah bapak pernah membandingkan sikap kami berdua.
"Tidaklah. Saya pun baik hati macam emak." Lawan saya balik.
Bapak cuma tersengih mendengarnya ketika itu. Tetapi jauh di sudut hati, saya membenarkan kata-kata arwah bapak saya itu.
Balik dari kampung, saya segera menelefon adik beradik saya yang lain. Berbincang dari hati ke hati. Seorang demi seorang saya hubungi.
Kakak-kakak saya secara peribadi menentang permintaan Mak Uda saya itu. Tetapi mereka tidak mahu menyanggah pendapat emak.
Tidak mahu melihat emak bersedih. Apatah lagi hingga membuatkan emak menangis.
Ini membuatkan saya kecewa. Bercakap dengan mereka sama seperti bercakap dengan emak saya!
Lalu saya menghubungi abang-abang saya pula. Mereka pada awalnya tidak mahu membantah pendapat emak.
Tetapi saya bertegas. Tanah milik bapak harus dipertahankan!
Saya luahkan apa yang terpendam di dalam hati. Secara jujurnya, saya tidak mengimpikan pun tanah itu akan jadi milik saya. Tidak sesekali. Kerana saya mampu memiliki harta dengan pendapatan saya sendiri!
Tapi tanah itu tanah milik bapak. Untuk memilikinya, bapak sanggup berkorban apa saja. Tenaga, wang ringgit, masa, keringat dan apa saja.
Tetapi mengapa anak-anak bapak tidak seorang pun yang berani untuk mempertahankanya!
Saya jelaskan lagi. Di mata saya, tanah itu adalah sebahagian kenangan mengenai bapak.
Maka menyerahkannya kepada orang lain, sama seperti menggadaikan maruah keluarga anak-anak bapak.
"Hari ni tanah dua ekar tu diminta. Esok lusa tanah-tanah yang lain pula direngekkan. Silap hari bulan, tanah tapak rumah emak duduk sekarang pun dikejar." Tegas saya.
Sengaja menjolok Abang Long saya. Dan jolokkan saya mengena!
Tidak lama kemudian, Abang Long pergi menemui Mak Uda. Saya tidak turut serta dalam pertemuan itu. Hanya mendengar cerita.
Bagaimana Abang Long saya begitu bersemangat melawan setiap hujah Mak Uda saya. Hingga Mak Uda saya kehilangan kata-kata.
Dan selepas itu, apa yang emak bimbangkan menjadi kenyataan. Hubungan kami dengan Mak Uda saya menjadi keruh. Tidak semesra dulu lagi. Kami dianggap seperti musuhnya.
Dan kerana sayalah penentang paling kuat hasratnya. Berdegil tidak setuju dengan hasratnya. Maka saya dianggap musuhnya paling utama.....saya tahu itu.
Tapi saya tak kesah. Kerana tanah milik bapak itu tetap milik kami!
Beberapa bulan kemudian, bapak datang lagi. Menziarahi saya dalam mimpi.
Saya cuba memeluk bapak. Mahu melepaskan resah rindu saya. Tapi peliknya, saya hanya memeluk angin.
Bapak hanyalah seperti bayang-bayang. Boleh dipandang. Tapi tak boleh dipegang.
Kedatangan bapak kali ini dalam situasi berbeza. Tidak ada lagi garis kesedihan yang terpancar. Mukanya bercahaya.
Bapak tersenyum lebar pada saya. Memandang saya dengan penuh kasih sayang. Saya tahu, bapak menyetujui tindakan saya perihal tanahnya.
"Terima kasih bapak, kerana menyokong saya." Ucap saya ketika tersedar dari mimpi.
Peristiwa perebutan harta keluarga ini berlaku beberapa tahun dahulu. Sengaja saya angkat kembali dalam bentuk penulisan di sini.
Bukan bermaksud mahu membuka pekung di dada. Bukan juga berhasrat mengaibkan nama keluarga sendiri. Tidak sesekali!
Cuma berharap mungkin cerita ini boleh dijadikan iktibar. Kepada sahabat-sahabat saya di luar sana.
Bahawa harta pusaka, jika tidak kena caranya. Boleh bertukar menjadi harta puaka!
0 comments:
Catat Ulasan