Sabtu, 29 September 2012

SAYA SELALU LUPA....

Posted by CIKGU ROS at 1:19 PTG 0 comments
Anda percaya? Kalau saya katakan. Kita selalu haloba. Ghairah memburu yang tiada. Bukan juga milik kita. Hingga kita selalu lupa. Apa yang Allah beri. Adalah Yang Terbaik Untuk Kita.

Sesekali saya juga terfikir.  Apa lagi yang dikejar dalam hidup. Selalu rasa tidak cukup. Dengan apa yang saya miliki hari ini. Padahal saya telah memiliki segala-galanya. Hingga saya jadi lupa. Bukan itu tujuan utama saya dihidupkan. 




Dan jika ditakdirkan. Saya mati di saat ini. Bagaimanakah keadaan saya ketika itu. Mungkinkah roh saya akan gentayangan ke sana sini. Bingung  mencari-cari.  Jalan mana mahu dituju.

Di saat itu. Mahukah Allah menerima saya kembali. Ke pangkuan kasih dan rahmatNya.  Padahal ketika  hidup saya tidak pernah berkasih denganNya.  Jarang sekali melepas resah rindu padaNya. Mahukah lagi  Dia pada saya? Mahukah Dia?

Ahad, 10 Jun 2012

KENAPA TIDAK?

Posted by CIKGU ROS at 8:03 PTG 0 comments
Petang itu cuaca cerah. Tetapi hati saya sedang gundah ketika itu. Akhir-akhir ini banyak perkara yang mencalarkan perasaan saya. Berminggu-minggu saya bermenung. Cuba mencari-cari ubat penawarnya.


Lalu saya ke taman rekreasi berhampiran Bukit Besar. Tidak jauh dari bangunan Mydin Mall. Duduk bersendirian di situ. Di temani akal saya. Lalu kami berbual-bual. Saya dan akal saya!

"Alangkah bagusnya jika saya menjadi kanak-kanak semula. Tentu saya tidak akan sesedih ini." Hiba saya

"Kenapa kamu nak jadi kanak-kanak semula?" Tanya akal.

"Dunia kanak-kanak tidak sekompleks dunia orang dewasa. Tidak banyak perkara yang meresahkan mereka. Mereka menangis jika hanya lapar. Atau jika kemahuan mereka tidak dituruti. Selebihnya dunia mereka penuh dengan tawa dan ceria." Hujah saya.

"Lagi?" Tanya akal lagi.



"Tetapi saya......banyak perkara yang perlu difikirkan. Banyak perkara yang meresahkan saya. Alangkah bagusnya kalau saya menjadi kanak-kanak semula." Keluh saya.

"Jika begitu mengapa kamu tidak menjadi seperti kanak-kanak semula. Duduk bersama mereka. Dan cuba selami dunia mereka yang tidak pernah bersyarat. Jadi seperti mereka.  Mungkin nanti hati kamu akan tenang." Saran akal.



"Boleh ke?" Saya meminta kepastian.

"Kenapa tidak?" Jawab akal ringkas.

Saya bingkas bangun!

Isnin, 9 April 2012

PUTARAN HIDUP

Posted by CIKGU ROS at 7:00 PTG 0 comments
Saya selalu diberitahu. Hidup ini diumpamakan seperti roda. Ada masa di atas. Ada masa di bawah. Suka dan duka silih berganti. Bahagia dan derita punya ruang tersendiri.

"Andai roda tidak berputar lagi, itu bermaksud kehidupan juga turut terhenti!" Saya membuat andaian sendiri.
Sekadar gambar hiasan

Sesekali saya juga terfikir. Mengapakah perlu ada derita dan kepedihan dalam hidup. Alangkah bagusnya jika bahagia dan kegembiraan sentiasa mengisi kantung kehidupan kita. Mengapa tidak?

Tetapi bila saya fikirkan semula. Tidakkah nanti saya diselimuti kebosanan. Jika sentiasa berada di posisi yang sama setiap masa. Malah lebih menakutkan. Saya akan menjadi manusia yang tak pandai bersyukur. Gara-gara tidak pernah menempuh rintangan hidup. Mahukah saya?

Lalu saya membuat kesimpulan sendiri...."menangislah semaunya ketika diuji dengan kepahitan. Dan ketawalah sebebasnya  ketika diberi kebahagiaan. Kerana keduanya adalah asam garam kehidupan. Seumpama rencah masakan yang perlu ditabur. Semuanya untuk menyedapkan lagi rasa!"

Mee Jawa...


"Dan yang lebih penting. Tuhan sentiasa menguji saya. Tidak kira masa suka atau duka. Agar saya semakin dekat padaNya!" Pujuk hati saya lagi.

Sabtu, 7 April 2012

MAAFKAN CIKGU.....

Posted by CIKGU ROS at 8:22 PG 0 comments

Sejak sekian lama, baru hari ini saya berpeluang melihat semula gambar bekas anak murid  saya di fb....Arif. Wajah ceria Arif bersama rakan-rakan saya renung. Dah besar panjang rupanya dia. Begitu cepat masa berlalu.

Satu masa, Arif pernah dirujuk kepada saya. Semuanya bermula apabila guru-guru di kelas Arif mendapati beliau terlalu sukar menguasai kemahiran 3M. Sejak awal persekolahan lagi! Dan sebagai guru pemulihan, teman-teman setugas menaruh harapan saya mampu membantu Arif.

Bermula detik  itu saya berusaha membantu Arif. Mengajarnya membaca, menulis dan mengira. Tapi tidak banyak perubahan yang berlaku kepada Arif. Terlalu sedikit kemajuan yang dicapainya. Dan saya mengalah akhirnya!

Atas nasihat pihak pengurusan sekolah, bapa Arif membawa beliau kepada doktor untuk pemeriksaan keupayaan iq. Dan doktor akhirnya mengesahkan . Bahawa tahap keupayaan mental Arif jauh lebih rendah berbanding usianya. Dan bila Arif berpindah ke Kelas Integrasi pendidikan khas, saya hanya melihat Arif dari jauh!



Secara jujurnya......Hingga kini jauh di dalam hati saya selalu menyesal. Tertanya-tanya di manakah silapnya hingga Arif tidak berjaya saya pulihkan. Di manakah silapnya? Andai benar Arif mempunyai tahap iq yang tidak sepadan dengan usianya...mengapakah saya ketika itu tidak berusaha sedaya upaya membantunya. Mengapakah?


"Arif..........Maafkan cikgu!" Dan air mata saya menitik lagi

Ahad, 26 Februari 2012

KEHILANGAN 2

Posted by CIKGU ROS at 8:23 PTG 0 comments
KEHILANGAN
Ku coba ungkap tabir ini

Kisah antara kau dan aku
Terpisahkan oleh ruang dan waktu
Menyudutkanmu meninggalkanku

*courtesy of LirikLaguIndonesia.Net
Ku merasa telah kehilangan
Cintamu yang telah lama hilang
Kau pergi jauh karena salahku
Yang tak pernah menganggap kamu ada

*

Asmara memisahkan kita
Mengingatkanku pada dirimu
Gelora mengingatkanku
Bahwa cintamu telah merasuk jantungku

Reff:

Sejujurnya ku tak bisa
Hidup tanpa ada kamu aku gila
Seandainya kamu bisa
Mengulang kembali lagi cinta kita

Takkan ku sia-siakan kamu lagi


Berebut kad .....

Nasyat, Zikri, Firdaus, Fatihah dan  Aidil.....


Saya sedang menyiapkan kerja. Sambil mendengar radio. Dan ketika lagu Kehilangan dendangan Firman ke udara, saya terpaku. Dada saya bergetar. Ada rindu yang sukar untuk diungkapkan.

Lagu ini mengingatkan saya pada anak-anak didik saya.....Nasyat, Zikri, Fatihah dan Firdaus. Satu masa kami pernah menyanyikan lagu ini bersama-sama.Tanpa pernah jemu mengulang rangkap bait yang sama. Dan jika saya tersalah sebut kerana lupa...mereka akan mentertawakan  saya . Betapa manisnya kenangan itu. 



Fatihah yang suka ketawa. Tak pernah merajuk.....
Zikri suka bercakap dengan 
nada suara yang kuat . 
Tapi marah saya balik bila
 saya  meninggikan suara




Hari ini genap enam bulan mereka berpindah sekolah. Pergi meninggalkan saya dengan kenangan bersama mereka yang tidak pernah padam dalam ingatan. Betapa mereka saya sayangi......


Apa khabarkah agaknya Fatihah, Zikri, Nasyat dan Firdaus sekarang. Sejak terpisah  saya langsung tidak mendengar apa-apa perkhabaran mengenai mereka.  Mungkin di saat ini mereka sedang menikmati saat-saat manis di sekolah baru. Sedangkan saya yang ditinggalkan sarat dengan sendu. Berminggu-minggu menangisi pemergian mereka. Dan tiapkali rindu menerpa, buku hasil kerja mereka saya belek satu demi satu. Betapa mereka saya rindui......


Firdaus bergaya dengan cermin mata saya.......

Betapa mereka saya rindui.......


Isnin, 26 Disember 2011

SAYA SELALU PERCAYA.....

Posted by CIKGU ROS at 3:59 PTG 0 comments
Saya selalu percaya. Hidup ini seperti aliran sungai. Semuanya bermatlamat menuju ke laut. Ada kala mengalir lesu. Ada kala mengalir laju.

Dan seperti sungai, saya percaya bahawa hidup  ini telah ada laluannya. Sejak kita dilahirkan lagi. Di mana setiap orang akan melalui laluan yang telah Allah cipta untuknya. Dan di akhir laluan itu, saya akan kembali kepada Tuhan. Pencipta saya Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang!


Dan seperti sungai juga. Saya begitu percaya. Sepanjang perjalanan hidup saya akan menempuh banyak perkara . Ada yang manis. Dan ada yang pahit. Semuanya mengajar saya perihal hidup.  Jadi, mengapa harus berkeluh kesah?

Saya juga percaya. Bahawa tiada istilah kebetulan dalam hidup. Semuanya telah diaturkan dengan begitu indah oleh pencipta saya. Juteru itu redhalah ketika berhadapan dengan cubaan hidup. Dan bergembiralah ketika tuhan kurniakan kebahagiaan. Kerana semuanya akan ada masa penamat. Semuanya akan silih berganti. Jadi mengapa harus bersedih?


 Juteru itu saya mahu menikmati hari ini dengan sebaik mungkin. Karna sesungguhnya tiap apa yang Tuhan beri adalah yang terbaik untuk saya!

Sabtu, 12 November 2011

MANTERA HUJAN LEBAT!

Posted by CIKGU ROS at 8:51 PTG 0 comments
"Hujan lebat-lebat
kambing biri-biri
lekas cari ubat
Cik Minah sakit gigi"

Ketika di zaman kanak-kanak, saya dan kawan-kawan sepermainan selalu menyanyikan lagu ini. Terutama sekali ketika hujan turun rintik-rintik. 

Saya tidak pasti mengapa. Tapi saya begitu percaya. Begitu juga Leha, Zai, Suminah, Ruslan, Sham dan Inah. Bahawa ini mantera mengundang hujan lebat. 

Jika hujan tiba-tiba berhenti, kami akan mengeluh kehampaan. Tetapi jika hujan terus turun dengan lebat.....kami akan meluru ke halaman rumah

Melompat-lompat dengan girang. Membiarkan air hujan membasahi tubuh.




Emak selalu melarang saya bermain hujan. "Nanti demam." Larang emak berkali-kali. Tapi saya selalu berdegil. 

"Bapak kamu pun satu. Dibiarnya Ros bermain hujan." Rungut emak. Marah kerana bapak tidak pernah menegah kegilaan saya. 

Tapi saya tahu. Setiapkali hujan lebat, emak berdiri di sebalik tingkap rumah ketika itu. Mengawasi    saya dan teman-teman!

Selepas puas bermain hujan, kawan-kawan berlari pulang. Begitu juga saya. Dan seperti biasa emak berdiri di muka pintu. Menunggu saya seperti orang salah! 




Emak akan berleter sambil menunggu saya menyalin pakaian. Saya yang tidak tahan dileteri akan melarikan diri. Selalunya bersembunyi di bawah katil. Menyusup keluar bila kemarahan emak telah reda! 


"Emak tak pernah faham betapa seronoknya bermain hujan". Getus  saya. Dan kegilaan bermain hujan terus berlaku setiapkali hujan lebat!

Hinggalah satu hari. Suminah   tiba-tiba jatuh sakit. Demam berminggu-minggu. 

Saya dan kawan-kawan menziarahinya setiap hari. Berharap Suminah akan sembuh kembali. Sedih rasanya melihat sahabat kami terbaring lesu.  


Tetapi Suminah kami 'pergi' jua. 

Pada hari pengebumiannya, saya dan teman sepermainan yang lain  diberi peluang menatap jenazahnya buat kali yang terakhir. Sayu rasanya menatap wajah dingin Suminah. 

Dan ketika kain kapan menutup muka Suminah, saya terasa seperti Suminah membawa pergi sama semua kegembiraan yang pernah kami kongsi bersama!


Kematian Suminah meninggalkan kesan mendalam di dalam hati saya. Begitu juga kepada kawan-kawan lain. 


"Suminah mati sebab suka mandi air hujan!" Momok orang-orang kampung.

Ianya begitu menakutkan saya dan kawan-kawan. Kami tidak mahu kehilangan seorang lagi 'Suminah'

Dan perlahan-lahan mantera mengundang hujan lebat dilupai begitu saja.Tiada lagi gelak tawa kegirangan setiapkali hujan lebat.




Bertahun kemudian. Satu petang  saya  sendirian di halaman rumah ketika hujan turun . Rintik-rintik dan semakin lebat.

Seperti kilat saya teringat mantera memanggil hujan saya. Perlahan-lahan berdendang di dalam hati. Saya terpaku!


Betapa saya berharap  ketika itu. Arwah emak berdiri di sebalik tingkap. Mengawasi saya. 

Sepertimana saya berharap seseorang menemani saya bermain air hujan. Melompat-lompat  kegirangan . Seperti dulu-dulu.


"Suminah". Hati saya bergetar!
 

Catatanku, Memoriku Copyright © 2010 Design by Ipietoon Blogger Template Graphic from Enakei