Rabu, 27 Oktober 2010

MIMPI SAYA

Posted by CIKGU ROS at 8:42 PTG 0 comments
Kata orang, mimpi cuma mainan tidur. Tapi ada juga yang percaya. Bahawa mimpi adalah luahan hati kita sendiri.

Terserah.......



Malam tadi saya bermimpi. Bermimpi perihal kelas pemulihan khas saya.

Dalam mimpi, seorang bapa murid menemui saya. Mahu berbincang perihal anaknya yang belum pandai membaca.

Bukan berbincang. Tetapi maki hamun saya sebenarnya!

Bayangkan, seseorang yang berpengaruh dalam masyarakat mempunyai anak tidak pandai membaca.

Si bapa marah-marah pada saya. Katanya saya tidak menjalankan tugas dengan baik. Sebab itu anaknya lemah dalam pelajaran.

Berbanding dengan guru lain, kiranya saya adalah seorang guru pemulihan 'low class'.

Dan macam-macam lagi tuduhan dia pada saya. Rosak hati saya mendengarkannya.



Lebih memburukkan lagi keadaan, si bapa mahu menukarkan anaknya ke sekolah lain. Alasannya guru pemulihan khas di sekolah lain lebih bagus mengajar.

Tercabar betul saya dibuatnya. Naik marah pun ada.

Kenapa saya seorang yang perlu tanggung masalah ini. Bukankah saya cuma seorang guru pemulihan sahaja. Kenapa saya?

Dalam mimpi itu juga, datang pula seorang bapa murid yang lain. Kali ini dalam situasi yang berbeza.

Dia tidak banyak bercakap. Langsung tidak menyalahkan saya. Sebaliknya berjanji mahu memberi kerjasama untuk membantu anaknya.

Sepanjang mimpi itu wajahnya agak murung. Saya tahu beliau mungkin rungsing memikirkan anaknya. Saya teruja lagi.

Jam 3.00 pagi saya terjaga dari tidur. Puas saya cuba memejamkan mata semula. Tapi gagal. Fikiran saya terus ligat memikirkan mimpi itu.

Rasanya inilah pertama kali saya bermimpi begini. Pertamakali dalam perkhidmatan sebagai seorang guru. Dan saya kehilangan kata-kata!


Kenapa situasi ini hadir dalam mimpi saya? Berkali saya bertanya sendiri.

Akhirnya saya dapat kesimpulan ...setiap kejadian pasti ada hikmahnya.

Mimpi ini seakan satu cabaran. Dan pastinya saya akan menyahut cabaran ini. Untuk menjadi seorang guru pemulihan yang terbaik.

Ini janji saya pada Tuhan!

Khamis, 21 Oktober 2010

SATU KEBETULAN @ SURATAN?

Posted by CIKGU ROS at 11:45 PTG 0 comments
     Pernahkah anda alami sesuatu peristiwa yang anda rasakan satu kebetulan. Atau mungkin sebenarnya satu suratan....?

Cerita benar saya ini mungkin boleh dijadikan iktibar.

Hanya tinggal kertas Matematik Tambahan ketika itu. Peperiksaan SPM ditangguhkan seminggu. Gara-gara banjir besar di Pantai Timur.

Justeru itu, saya segera setuju dengan cadangan seorang sahabat. Mengutip derma untuk pembinaan sebuah sekolah agama persendirian di Muar. Yang tertangguh sekian lama.

Dalam tempoh seminggu seterusnya, saya begitu sibuk. Pelbagai ragam orang yang saya jumpa.

Ada yang ikhlas memberi. Ada yang tersenyum kelat ketika menghulurkan wang. Puratanya menghulurkan RM1. Paling banyak pun RM5. Dari sebuah stesen minyak Petronas di pekan Bukit Gambir, Muar Johor.

Dan sehari sebelum kertas Matematik Tambahan yang tertangguh menjelang, saya menyerahkan hasil derma selama seminggu.. 

    

Dua tahun berlalu. Dan saya sudah melupakan kisah ini.

Satu hari, saya ingin menziarahi seorang sahabat. Harlina Hassan di Kampung Parit Sakai Laut, Muar. 

Saya tidak pernah ke sana. Beliau mengirimkan peta rumahnya.

 "Tanya pada konduktor bas. Mereka pasti tahu bagaimana jalan ke rumah saya." Ulas Harlina dalam suratnya. Menjawab kebimbangan saya jika tersesat.


Lalu, saya menaiki bas petang dari bandar Muar. Namun, setelah bas bergerak baru saya tersedar. Saya tersalah bas

Bas yang saya naiki tidak memasuki kampung itu. Dan saya diturunkan oleh konduktor bas di tepi jalan.

Menurut konduktor tersebut, tempat itu tidak jauh dari rumah sahabat saya .

Saya terpinga-pinga ketika diturunkan. Waktu sudah lewat petang. Saya kebingungan sendiri.

Di masa itu tiada kemudahan telefon bimbit seperti  di zaman ini. Bayangkan...seorang gadis berjalan sendirian di waktu hampir malam. Hanya Tuhan saja yang tahu. Betapa takutnya saya waktu itu.


Saya tidak berani berjalan ke mana-mana. Tidak tahu ke mana arah mahu dituju.

Lalu, saya hanya berdiri di tepi jalan seorang diri.

Saya lihat ...kawasan sekeliling adalah  kebun getah. Kelihatan beberapa buah rumah yang jaraknya jauh antara satu sama lain di dalam kawasan kebun getah tersebut.

Dan saya pasrah....

"Assalamualaikum.." tiba-tiba satu suara halus menyapa dari arah belakang. Terkejut saya.

"Waalaikum salam". Balas saya. Tetap bimbang!.

"Kakak, ummi dan abi panggil".

Berderau darah saya mendengarnya.

 Mungkin faham dengan situasi saya.   Gadis kecil itu segera menuding ke arah sebuah rumah yang kelihatan tersorok sedikit. Tangan saya ditariknya.

"Ummi dan abi panggil." Tegas gadis itu sekali lagi. 

Saya kebingungan ketika itu. Dan perlahan-lahan mengatur langkah menuruti gadis kecil itu. Tangan saya digenggam erat!


 Gadis kecil itu membawa saya  ke sebuah rumah papan. Tidak jauh dari rumah itu, kelihatan sebuah bangunan dua tingkat .

Dan ketika melihat papan tanda bangunan itu......jantung saya berdegup kencang.

Nama bangunan  itu sama dengan kepala surat kebenaran memohon derma yang pernah saya lihat dua tahun dulu.

Sudah siap rupanya sekolah persendirian agama itu!

Saya diperkenalkan dengan ibu bapa kanak-kanak tersebut. Mereka memerhatikan saya yang kebingungan dari jauh rupa-rupanya.

Melalui perbualan ringkas kami, bapa kanak-kanak itu adalah pengasas sekolah agama persendirian tersebut. 



  Hari itu...ketika azan Maghrib berkumandang, saya masih di belakang basikal. Dibonceng oleh abang kanak-kanak yang memegang tangan saya tadi.

Untuk dihantar ke rumah sahabat saya. Seorang lagi saudara perempuannya turut menemani kami.

Sepanjang jalan saya tersenyum sendiri. Di mata saya terbayang sampul surat berisi RM40. Yang saya serahkan dua tahun dulu. . Dan hati saya berbunga indah.......

 "Maha kaya Tuhan..." bisik saya sendiri.

Sabtu, 16 Oktober 2010

BAPAK SAYA

Posted by CIKGU ROS at 10:57 PG 3 comments
Ketika Bapak meninggal dunia, jasad kakunya saya dakap. Dahi sejuknya saya kucup. Air mata saya tak berhenti mengalir. Jiwa saya terasa kosong. 

Arwah bapak tegas orangnya. Tipikal watak lelaki Melayu kampung.

Sebagai ketua keluarga, tidak pernah menzahirkan kasih sayang. Tapi saya tahu...bapak menyayangi kami 7 beradik.

Saya masih ingat, arwah Bapak suka minum di kedai kopi. Saya dan adik Uzi selalu dibonceng mengikutnya.  

Teringat-ingat betapa enaknya menghirup teh tarik.  Sambil mendengar beliau bertukar-tukar cerita dengan jiran sekampung.

Ketika di darjah tiga, saya pernah merajuk. Bapak terlupa membelikan buku tulis yang saya pesan.  

Tapi ketika waktu rehat persekolahan, bapak datang menjemput saya. Membawa saya ke Kedai Runcit Syarif. Dan menyuruh saya memilih buku yang mahu dibeli.
    
Saya juga pernah meraung, mahu mengikut kakak-kakak saya yang telah dewasa menonton filem Bobby dan Yaadhul Kibarat. Mereka enggan mengajak saya. 

Namun selang beberapa hari kemudian. Bapak membawa kami adik beradik menonton di Bandar Segamat!

Bapak saya juga cukup tegas perihal waktu sembahyang. Setiapkali selepas sembahyang Maghrib, beliau selalu memaksa kami adik beradik membaca  surah Yassin

Tetapi saya selalu culas. Membaca beberapa ayat sahaja setiap hari. Apabila menyedari hal itu.....Bapak meleteri saya berhari-hari!


Arwah Bapak juga suka menonton rancangan gusti di tv. Tiap kali menonton, habis kaki dan tangannya bergerak sama.

Reaksi spontannya ketika menonton selalu saya ajuk. Beliau hanya tersenyum.


Lalu ketika belajar di Bandar Muar, saya memperuntukkan duit poket yang diberinya. Membeli majalah gusti.

Bapak memarahi saya kerana membazir. Tapi saya tahu, bapak akan membelek-belek majalah itu semasa saya balik ke asrama.



Bapak meninggalkan kami di tahun akhir pengajian saya. Di hari konvokesyen, tiada sesiapa mengiringi saya. Dewan majlis terasa sepi.

Di saat melihat nama bapak tertera di ijazah, hati saya menjadi sebu. Betapa, orang yang saya ingin hadiahkan kepingan ijazah itu telah tiada!


  
 Selepas pemergiannya, Bapak selalu datang di dalam mimpi saya. Tersenyum dengan wajah berseri-seri. Dan rindu saya pada arwah bapak semakin menebal!

Buat arwah Bapak .....hanya surah Al-Fatihah dan Yassin dari saya setiapkali selepas solat Maghrib.

Terima kasih Bapak. Semoga rohmu damai di sana!

SELUAR BADRUL KOYAK...CIKGU!

Posted by CIKGU ROS at 3:43 PG 1 comments


Ketika itu, saya  berada di bilik guru. Mendengar lagu Isabella, nyanyian Amy Seach. Membunuh perasaan jemu, menunggu kelas seterusnya.

Tiba-tiba Aizat menerpa. Tercungap-cungap.

"Cikgu..Badrul panggil cikgu!" 

"Kenapa, penting sangat ke?"

Aizat menoleh ke kanan dan ke kiri. Mungkin mahu memastikan tiada guru lain yang memerhati.

"Seluar Badrul koyak. Dia nak minta cikgu tolong jahitkan." Bisik Aizat perlahan-lahan.

"Haa....seluar Badrul terkoyak!" Ajukkan saya disambut hilai tawa beberapa  rakan guru lain di situ.

Saya tersenyum. Lalu bergegas mencari tuala. Kain itu saya hulurkan kepada Aizat.

Lima minit kemudian, Aizat datang semula. Bersama sehelai seluar sekolah Badrul.  Seluar Badrul saya belek. Jahitan seluar di bahagian punggung telah tetas.

"Hari ini Badrul  pakai seluar dalam tak?". Aizat tersenyum, faham maksud saya.

Dan untuk kesekian kalinya, saya menjahit seluar anak murid yang terkoyak.

"Hai Cikgu Ros...senasib kita rupa-rupanya. Dah la mengajar murid-murid membaca. Seluar murid koyak pun...cikgu juga jahitkan." Gumam saya sendiri.

Adegan Cikgu Ros menjahit seluar sambil menyanyi bersama P.Ramlee dalam filem Pendekar Bujang Lapok  meluncur laju di fikiran saya.

Isnin, 4 Oktober 2010

BERKHEMAH & MALAM KEBUDAYAAN

Posted by CIKGU ROS at 12:14 PTG 2 comments
Kami berkampung 10 hariDi hujung padang sekolah. SMK Tun Seri Lanang, Muar Johor.

Sekadar mengingat beberapa nama …….Noorlela Surip, Khamisah, Zai, Asmah Md.Tap, Normazelah, Yaakob, Hazreen. Juga Hairul Anuar, Kamaruddin, Halim Katan, Mohd.Nazir, Suhaimi Zaman, Azman, Azamuddin Zainuddin serta banyak lagi yang saya telah lupa.

Semuanya bermotifkan untuk menghabiskan lencana Usaha Pengakap Muda.

Guru Pemimpin kami Cikgu Samad. Hanya menjengok kawasan perkhemahan dua kali sehari. Waktu pagi dan petang. Namun ekor matanya sentiasa mengawasi kami 24 jam. Ini kerana beliau ketika itu mendiami rumah guru. Terletak tidak jauh dari tapak perkhemahan kami.

Berkhemah di tengah padang sekolah bukanlah sesuatu yang menyeronokkan.

Tiada pokok melindungi. Kesejukan yang menggigit hingga ke tulang sum-sum di waktu malam. Kepanasan yang menggila di waktu siang.

Namun ianya tidak pernah mejadi penghalang. Malahan kami seronok menikmati detik-detik itu.

Kami bagai satu keluarga besar. Setiap ahli tahu tugasan masing-masing. Membuat gajet. Membersihkan  kawasan perkhemahan, belajar memasak telur dalam tanah. Dan banyak lagi. Malahan , saya turut pergi memancing dalam usaha mendapatkan lencana pemancing ketika itu.

Malam penghujung perkhemahan  tiba. Sejak awal petang kami sibuk membuat persiapan untuk malam kebudayaan. Unggun api dihidupkan di tengah padang. Setiap ahli duduk mengelilingi unggun api.

Dan satu demi satu kumpulan keluar membuat persembahan .  Tiada bbq dalam menu. Yang ada cuma ada air teh ’o’ dan roti lilit bakar.

Di akhir persembahan, lagu Malam Ini nyanyian Sudirman dipasang. Lagu itu sedang popular ketika itu. Dan kami menyanyi beramai-ramai.

Hingga kini, saya selalu merindui harumnya bau roti lilit yang dipanggang . Juga  terbayang satu demi satu wajah teman-teman.Setiap kali mendengar lagu Malam Ini oleh Sudirman.Di manakah agaknya teman-teman saya di saat ini?


 

Catatanku, Memoriku Copyright © 2010 Design by Ipietoon Blogger Template Graphic from Enakei