Ketika itu, saya berada di bilik guru. Mendengar lagu Isabella, nyanyian Amy Seach. Membunuh perasaan jemu, menunggu kelas seterusnya.
Tiba-tiba Aizat menerpa. Tercungap-cungap.
"Cikgu..Badrul panggil cikgu!"
"Kenapa, penting sangat ke?"
Aizat menoleh ke kanan dan ke kiri. Mungkin mahu memastikan tiada guru lain yang memerhati.
"Seluar Badrul koyak. Dia nak minta cikgu tolong jahitkan." Bisik Aizat perlahan-lahan.
"Haa....seluar Badrul terkoyak!" Ajukkan saya disambut hilai tawa beberapa rakan guru lain di situ.
Saya tersenyum. Lalu bergegas mencari tuala. Kain itu saya hulurkan kepada Aizat.
Lima minit kemudian, Aizat datang semula. Bersama sehelai seluar sekolah Badrul. Seluar Badrul saya belek. Jahitan seluar di bahagian punggung telah tetas.
"Hari ini Badrul pakai seluar dalam tak?". Aizat tersenyum, faham maksud saya.
Dan untuk kesekian kalinya, saya menjahit seluar anak murid yang terkoyak.
"Hai Cikgu Ros...senasib kita rupa-rupanya. Dah la mengajar murid-murid membaca. Seluar murid koyak pun...cikgu juga jahitkan." Gumam saya sendiri.
Adegan Cikgu Ros menjahit seluar sambil menyanyi bersama P.Ramlee dalam filem Pendekar Bujang Lapok meluncur laju di fikiran saya.
1 comments:
Lia memang tabik dengan sikap guru yg macam u ni ros
memang wajah lembut u ros layak bergelar pendidik....
Ini le yg dinamakan pendidik berhemah tinggi....anak murid akan lebih menghargai kelembutan mu ros
Catat Ulasan