Sabtu, 16 Oktober 2010

BAPAK SAYA

Posted by CIKGU ROS at 10:57 PG
Ketika Bapak meninggal dunia, jasad kakunya saya dakap. Dahi sejuknya saya kucup. Air mata saya tak berhenti mengalir. Jiwa saya terasa kosong. 

Arwah bapak tegas orangnya. Tipikal watak lelaki Melayu kampung.

Sebagai ketua keluarga, tidak pernah menzahirkan kasih sayang. Tapi saya tahu...bapak menyayangi kami 7 beradik.

Saya masih ingat, arwah Bapak suka minum di kedai kopi. Saya dan adik Uzi selalu dibonceng mengikutnya.  

Teringat-ingat betapa enaknya menghirup teh tarik.  Sambil mendengar beliau bertukar-tukar cerita dengan jiran sekampung.

Ketika di darjah tiga, saya pernah merajuk. Bapak terlupa membelikan buku tulis yang saya pesan.  

Tapi ketika waktu rehat persekolahan, bapak datang menjemput saya. Membawa saya ke Kedai Runcit Syarif. Dan menyuruh saya memilih buku yang mahu dibeli.
    
Saya juga pernah meraung, mahu mengikut kakak-kakak saya yang telah dewasa menonton filem Bobby dan Yaadhul Kibarat. Mereka enggan mengajak saya. 

Namun selang beberapa hari kemudian. Bapak membawa kami adik beradik menonton di Bandar Segamat!

Bapak saya juga cukup tegas perihal waktu sembahyang. Setiapkali selepas sembahyang Maghrib, beliau selalu memaksa kami adik beradik membaca  surah Yassin

Tetapi saya selalu culas. Membaca beberapa ayat sahaja setiap hari. Apabila menyedari hal itu.....Bapak meleteri saya berhari-hari!


Arwah Bapak juga suka menonton rancangan gusti di tv. Tiap kali menonton, habis kaki dan tangannya bergerak sama.

Reaksi spontannya ketika menonton selalu saya ajuk. Beliau hanya tersenyum.


Lalu ketika belajar di Bandar Muar, saya memperuntukkan duit poket yang diberinya. Membeli majalah gusti.

Bapak memarahi saya kerana membazir. Tapi saya tahu, bapak akan membelek-belek majalah itu semasa saya balik ke asrama.



Bapak meninggalkan kami di tahun akhir pengajian saya. Di hari konvokesyen, tiada sesiapa mengiringi saya. Dewan majlis terasa sepi.

Di saat melihat nama bapak tertera di ijazah, hati saya menjadi sebu. Betapa, orang yang saya ingin hadiahkan kepingan ijazah itu telah tiada!


  
 Selepas pemergiannya, Bapak selalu datang di dalam mimpi saya. Tersenyum dengan wajah berseri-seri. Dan rindu saya pada arwah bapak semakin menebal!

Buat arwah Bapak .....hanya surah Al-Fatihah dan Yassin dari saya setiapkali selepas solat Maghrib.

Terima kasih Bapak. Semoga rohmu damai di sana!

3 comments:

Zaaba Tamammoddin berkata...

tersentuh hati membaca coretan ini ...teringat jugak almarhum bapak ku yang sudah tiada sejak Mei

CIKGU ROS on 9 Disember 2010 pada 9:21 PTG berkata...

zaaba....pagi raya nie saya teringat arwah bapak. dan air mata saya tak dapat dibendung....sedihnya hanya Tuhan saja yang tahu.

Amelia Khairan berkata...

ros..abah lia pun dah tak de juga 2 tahun yg lalu meninggal akibat kerosakan hati....terlalu sangat dengan sawah padinya...alfatehah

 

Catatanku, Memoriku Copyright © 2010 Design by Ipietoon Blogger Template Graphic from Enakei