Kata orang, mimpi cuma mainan tidur. Tapi ada juga yang percaya. Bahawa mimpi adalah luahan hati kita sendiri.
Terserah.......
Malam tadi saya bermimpi. Bermimpi perihal kelas pemulihan khas saya.
Dalam mimpi, seorang bapa murid menemui saya. Mahu berbincang perihal anaknya yang belum pandai membaca.
Bukan berbincang. Tetapi maki hamun saya sebenarnya!
Bayangkan, seseorang yang berpengaruh dalam masyarakat mempunyai anak tidak pandai membaca.
Si bapa marah-marah pada saya. Katanya saya tidak menjalankan tugas dengan baik. Sebab itu anaknya lemah dalam pelajaran.
Berbanding dengan guru lain, kiranya saya adalah seorang guru pemulihan 'low class'.
Dan macam-macam lagi tuduhan dia pada saya. Rosak hati saya mendengarkannya.
Lebih memburukkan lagi keadaan, si bapa mahu menukarkan anaknya ke sekolah lain. Alasannya guru pemulihan khas di sekolah lain lebih bagus mengajar.
Tercabar betul saya dibuatnya. Naik marah pun ada.
Kenapa saya seorang yang perlu tanggung masalah ini. Bukankah saya cuma seorang guru pemulihan sahaja. Kenapa saya?
Dalam mimpi itu juga, datang pula seorang bapa murid yang lain. Kali ini dalam situasi yang berbeza.
Dia tidak banyak bercakap. Langsung tidak menyalahkan saya. Sebaliknya berjanji mahu memberi kerjasama untuk membantu anaknya.
Sepanjang mimpi itu wajahnya agak murung. Saya tahu beliau mungkin rungsing memikirkan anaknya. Saya teruja lagi.
Jam 3.00 pagi saya terjaga dari tidur. Puas saya cuba memejamkan mata semula. Tapi gagal. Fikiran saya terus ligat memikirkan mimpi itu.
Rasanya inilah pertama kali saya bermimpi begini. Pertamakali dalam perkhidmatan sebagai seorang guru. Dan saya kehilangan kata-kata!
Kenapa situasi ini hadir dalam mimpi saya? Berkali saya bertanya sendiri.
Akhirnya saya dapat kesimpulan ...setiap kejadian pasti ada hikmahnya.
Mimpi ini seakan satu cabaran. Dan pastinya saya akan menyahut cabaran ini. Untuk menjadi seorang guru pemulihan yang terbaik.
Ini janji saya pada Tuhan!
0 comments:
Catat Ulasan