Pernahkah anda alami sesuatu peristiwa yang anda rasakan satu kebetulan. Atau mungkin sebenarnya satu suratan....?
Cerita benar saya ini mungkin boleh dijadikan iktibar.
Hanya tinggal kertas Matematik Tambahan ketika itu. Peperiksaan SPM ditangguhkan seminggu. Gara-gara banjir besar di Pantai Timur.
Justeru itu, saya segera setuju dengan cadangan seorang sahabat. Mengutip derma untuk pembinaan sebuah sekolah agama persendirian di Muar. Yang tertangguh sekian lama.
Dalam tempoh seminggu seterusnya, saya begitu sibuk. Pelbagai ragam orang yang saya jumpa.
Ada yang ikhlas memberi. Ada yang tersenyum kelat ketika menghulurkan wang. Puratanya menghulurkan RM1. Paling banyak pun RM5. Dari sebuah stesen minyak Petronas di pekan Bukit Gambir, Muar Johor.
Dan sehari sebelum kertas Matematik Tambahan yang tertangguh menjelang, saya menyerahkan hasil derma selama seminggu..
Dua tahun berlalu. Dan saya sudah melupakan kisah ini.
Satu hari, saya ingin menziarahi seorang sahabat. Harlina Hassan di Kampung Parit Sakai Laut, Muar.
Saya tidak pernah ke sana. Beliau mengirimkan peta rumahnya.
"Tanya pada konduktor bas. Mereka pasti tahu bagaimana jalan ke rumah saya." Ulas Harlina dalam suratnya. Menjawab kebimbangan saya jika tersesat.
Lalu, saya menaiki bas petang dari bandar Muar. Namun, setelah bas bergerak baru saya tersedar. Saya tersalah bas!
Bas yang saya naiki tidak memasuki kampung itu. Dan saya diturunkan oleh konduktor bas di tepi jalan.
Menurut konduktor tersebut, tempat itu tidak jauh dari rumah sahabat saya .
Saya terpinga-pinga ketika diturunkan. Waktu sudah lewat petang. Saya kebingungan sendiri.
Di masa itu tiada kemudahan telefon bimbit seperti di zaman ini. Bayangkan...seorang gadis berjalan sendirian di waktu hampir malam. Hanya Tuhan saja yang tahu. Betapa takutnya saya waktu itu.
Saya tidak berani berjalan ke mana-mana. Tidak tahu ke mana arah mahu dituju.
Lalu, saya hanya berdiri di tepi jalan seorang diri.
Saya lihat ...kawasan sekeliling adalah kebun getah. Kelihatan beberapa buah rumah yang jaraknya jauh antara satu sama lain di dalam kawasan kebun getah tersebut.
Dan saya pasrah....
"Assalamualaikum.." tiba-tiba satu suara halus menyapa dari arah belakang. Terkejut saya.
"Waalaikum salam". Balas saya. Tetap bimbang!.
"Kakak, ummi dan abi panggil".
Berderau darah saya mendengarnya.
Mungkin faham dengan situasi saya. Gadis kecil itu segera menuding ke arah sebuah rumah yang kelihatan tersorok sedikit. Tangan saya ditariknya.
"Ummi dan abi panggil." Tegas gadis itu sekali lagi.
Saya kebingungan ketika itu. Dan perlahan-lahan mengatur langkah menuruti gadis kecil itu. Tangan saya digenggam erat!
Gadis kecil itu membawa saya ke sebuah rumah papan. Tidak jauh dari rumah itu, kelihatan sebuah bangunan dua tingkat .
Dan ketika melihat papan tanda bangunan itu......jantung saya berdegup kencang.
Nama bangunan itu sama dengan kepala surat kebenaran memohon derma yang pernah saya lihat dua tahun dulu.
Sudah siap rupanya sekolah persendirian agama itu!
Saya diperkenalkan dengan ibu bapa kanak-kanak tersebut. Mereka memerhatikan saya yang kebingungan dari jauh rupa-rupanya.
Melalui perbualan ringkas kami, bapa kanak-kanak itu adalah pengasas sekolah agama persendirian tersebut.
Hari itu...ketika azan Maghrib berkumandang, saya masih di belakang basikal. Dibonceng oleh abang kanak-kanak yang memegang tangan saya tadi.
Untuk dihantar ke rumah sahabat saya. Seorang lagi saudara perempuannya turut menemani kami.
Sepanjang jalan saya tersenyum sendiri. Di mata saya terbayang sampul surat berisi RM40. Yang saya serahkan dua tahun dulu. . Dan hati saya berbunga indah.......
"Maha kaya Tuhan..." bisik saya sendiri.
0 comments:
Catat Ulasan