Emak saya orang tua lama. Penuh dengan kepercayaan. Ini tak boleh. Dan itu tak boleh.
Setiap kepercayaan emak selalu saya sanggah. Saya tidak mudah percayakan kata-kata emak. Tapi peliknya, kadang-kadang ada pantang larang emak menjadi kenyataan .
Umpamanya mengenai larangan duduk di atas bantal. Saya selalu duduk membaca buku berjam-jam lamanya. Hingga kematu punggung dibuatnya.
Jadi saya suka duduk di kerusi beralaskan bantal. Lembut rasanya. Tapi emak kurang menyenangi perangai saya itu. Berkali-kali melarang . Tapi saya selalu buat tak tahu.
"Bisul punggung kamu nanti." emak memberi amaran.
"Karut." Bidas saya balik. Emak menjengilkan mata. Dan saya tahu saya harus menutup mulut.
Dan apabila amaran emak menjadi nyata, saya takut untuk memberitahu emak. Tapi naluri hati seorang ibu mengatasi segala-galanya.
"Kenapa dah lama tak nampak kamu duduk di atas kerusi beralaskan bantal?" Sanggah emak satu hari. Saya hanya tersenyum.
"Berbaring pun tidak. Kamu cuma mengiring atau meniarap ketika tidur. Jangan-jangan kamu......." Saya tidak menjawab. Kali ini emak pula yang tersenyum.
"Karut......padan muka kamu." Emak memulangkan paku buah keras.
Dan saya tak mampu tersenyum. Hanya mampu mengaduh. Dan emak berlalu. Senyum di bibirnya masih tak lekang.
Sejak itu saya tidak berani langsung mengalas punggung dengan bantal ketika duduk!
Begitu juga dengan larangan membaca di waktu senja. Emak melarang saya berkali-kali. Tapi saya degil.
Ketika itu saya terlalu gilakan buku. Berhenti sekejab untuk sembahyang Maghrib. Dan menyambung semula hingga larut malam.
"Rabun mata kamu nanti." Pesan emak berkali-kali. Hinggalah bila saya selalu mengadu. Pandangan mata saya mula kabur ketika di darjah 4.
"Karut." Itu jawapan emak. Mentertawakan saya. Dan mulut saya terkunci mendengar jawapan emak.
Rumah saya rumah papan. Biasanya, di bahagian tengah rumah ada bahagian yang dipanggil alang rumah. Iaitu sebatang kayu yang melintang . Menyambung antara satu tiang seri rumah dengan tiang seri yang lain.
Emak selalu melarang saya tidur di bawah alang rumah. Hingga berbuih mulut emak berpesan. Tapi macam biasa saya selalu menyanggah larangan emak.
"Kenapa?" Itu soalan saya . Seperti selalu. Dan emak memberikan jawapan.
"Karut." Jawab saya sambil cepat-cepat melarikan diri. Sebelum emak menjengilkan matanya.
Tetapi alasan emak begitu menakutkan saya. Oleh itu saya tidak berani melanggar amaran emak kali ini.
Hinggalah pada suatu hari saya balik lewat dari sekolah. Ada sukan tahunan di sekolah. Saya tidak memasuki apa-apa acara pun. Cuma tumpang menyorak kawan-kawan yang terlibat.Saya terlalu letih.
Tiba di rumah, saya terus berbaring dan tertidur di bahagian tengah rumah. Betul-betul di bawah alang rumah. Saya terlupa langsung pesanan emak.
Tiba-tiba badan saya digoncang. Bila membuka mata, saya lihat emak di hadapan.
"Kenapa?" Tanya saya.
"La...kita pula yang ditanya. Kamu tu kenapa?"
Baru saya teringat. Saya bermimpi terserempak dengan makhluk yang tinggi, besar dan hodoh.Saya ketakutan. Cuba melarikan diri.
Tetapi makhluk hodoh itu berjaya menangkap saya. Saya ditangkap dan diangkat tinggi-tinggi.
Ketika saya meronta-ronta mahu melepaskan diri itulah emak mengejutkan saya. Menurut kata emak saya meracau-racau ketika tidur.
"Kenapa?" Tanya emak lagi. Saya tidak berani menjawab. Mimpi tadi masih lagi menakutkan saya.
"Karut.....pergi mandi dan sembahyang Maghrib. Syaitan kacau kamu tadi." Emak menenangkan saya.
Saya terkebil-kebil memandang emak. Emak selamba saja. Tersenyum pun tidak. Saya menggaru kepala yang tidak gatal.
"Padan muka aku!" Dalam hati saya memadankan diri sendiri.
2 comments:
kata-kata bonda adalah doa. mana kacamata cikgu yang besar waktu zaman sekolah dulu.....sekarng dah tak pakai lagi ker?.
Betul tu Maans. Cuma masa budak-budak semua perkara kita tak percaya. Tu yang jadi cam tu. hehehe...cermin mata ada lagi. Cuma guna masa membaca dan tgk komputer.
Catat Ulasan