Isnin, 29 November 2010

ADUHAI DUNIA

Posted by CIKGU ROS at 2:12 PTG 15 comments
Ingat tak lagi kisah Kak Yah, jiran saya.   Kisahnya  pernah saya ceritakan dalam episod Pahitnya Bermadu...Sepahit Hempedu. 

Kali ini saya mahu menyambung cerita itu. Cerita perihal usahanya.  Menentang suaminya berkahwin lagi!


Apa saja yang tidak beliau lakukan. Termasuk cara  berhemah di peringkat awal.

Dari merayu kepada suami, berlutut pada bekas biras, menggunakan khidmat bomoh hinggakan meminta jasa baik   orang tua kampung menasihati suaminya.


Namun semua itu  tidak berkesan. Dan akhirnya Kak Yah mula bertindak agresif. Melancarkan  perang gerila ke atas suami dan saingannya!

Dan seperti seorang pejuang yang terluka. Kak Yah   mencuba seberapa daya. Dalam usaha merebut kembali cinta suaminya.

Mulai detik itu. Kak Yah sentiasa berusaha mengganggu rancangan suaminya.

Ada sekali Kak Yah bertindak nekad.  Menyerang 'kekasih suaminya'. Beliau memukul dan menyumpah seranah. Mereka bergaduh bertarik rambut di pasar!


Dan bila hal ini sampai ke pengetahuan suaminya, Abang Mat naik angin. 

Hari itu hampir saja Abang Mat menembak Kak Yah dengan senapang RELAnya.  Mujur jiran-jiran berjaya menghalang.

Jika tidak, nyawa kak Yah mungkin sudah melayang.

"Aku puas...." Luah Kak Yah pada emak.  Sambil tersenyum. di malam itu.  Dengan mata  yang bersinar-sinar.  Penuh dendam dan kebencian. 

Dan saya terbayang-bayang. Hingga kini!

Kemanisan berumahtangga antara Kak Yah dan Abang Mat sudah tiada. Setiap hari ada saja perkara yang dipertengkarkan. Yang berakhir dengan Abang Mat bergegas keluar dari rumah.

Mencari cinta barunya.

Manakala anak-anak pula senyap menikus. Menikmati neraka dunia ciptaan ibu bapa mereka.  
    

Namun sudah tersurat, Kak Yah bermadu juga akhirnya. Semakin kuat tentangan Kak Yah. Semakin kuat keinginan Abang Mat untuk menikahi kekasihnya.

Dan mereka berkahwin juga akhirnya.
Dan selepas berkahwin, apa yang Kak Yah takuti benar-benar terjadi. Istilah membahagi dapur, membahagi kasih dan seterusnya membahagi tempat tidur  tidak ada dalam kamus Abang Mat.

Beliau tidak balik ke rumah langsung.

Dan membiarkan Kak Yah terkontang-kanting mencari rezeki sendiri. Begitu juga urusan rumahtangga dan anak-anak. Semuanya dibebankan dibahu kak Yah seorang.

Satu malam Kak Yah mencari emak. Mereka berbual-bual di ruang tamu.

Saya turut duduk tidak jauh dari mereka. Pura-pura membaca buku. Sambil mencuri-curi dengar perbualan mereka.

"Aku nak lari dari sini." Kak Yah separuh berbisik. Meluahkan perasaan.

"Kamu dah gila , Yah!" Bentak emak.

"Aku dah tak tahan. Abang Mat berlepas tangan terus."

"Anak-anak macam mana?"

"Ayah mereka ada. Biar Abang Mat rasakan betapa susahnya menjaga mereka. " Tegas Kak Yah. Menutup bicara malam itu. Sebelum bersalaman dan berpelukan dengan emak.


Rupanya Kak Yah sudah nekad malam itu. Keesokan hari, anak-anak Kak Yah gempar. Ibu mereka keluar awal pagi.

Dan tidak pulang-pulang hingga larut malam!

Abang Mat marah-marah  ketika dipanggil pulang. Muka isteri barunya masam mencuka. Dan mahu tak mahu mereka  terpaksa mengambil alih menguruskan anak-anak.


Lama kemudian baru kami tahu. Kak Yah lari pulang ke kampung asalnya. Membuka kedai makan di situ.

Dengan harapan membina kehidupan baru. Dan melupakan kesedihan yang bersarang di hati. 

Namun Kak Yah silap perhitungan. Perniagaan kedai makannya tidak menguntungkan. Malahan terpaksa pula menanggung hutang. 

Hingga  memaksa Kak Yah pulang semula ke kampung kami. Beberapa tahun kemudian.

Namun episod duka Kak Yah tidak berhenti di situ. Kepulangannya disambut dengan berita duka.

Kak Yah hampir pengsan ketika diberitahu.  Anak perempuan keduanya mengandung tanpa bapa yang sah.

Manakala seorang lagi anak perempuannya berkahwin lari.  Mengikut seorang lelaki Indonesia. Pekerja ladang di kampung kami.

Dan lebih memburukkan keadaan, Kak Yah tidak berhak menuntut harta sepencarian jika bercerai.

Beliau dituduh nusyuk. Lari dari ketaatan suami  Namun atas belas ehsan Abang Mat, Kak Yah dibenarkan tinggal di rumah lama mereka..

Sejak itu, pandangan masyarakat terhadap Kak Yah begitu menyakitkan. Masyarakat sekeliling menganggap Kak Yah  isteri derhaka.

Beliau dituduh terlalu emosi. Terlalu mengikut perasaan .

Lebih tepat lagi tidak redha dengan ketentuan Tuhan!

Beliau dituduh penyebab anak-anaknya  menjadi  masalah sosial kepada masyarakat.

Dan sekali lagi Kak Yah berdiri sendirian. Menghadapi cemuhan masyarakat pula.

Hingga kini, saya tetap menyebelahi Kak Yah.

Bagi saya beliau  sebenarnya mangsa keadaan. Mangsa suami yang kononnya mahu mengikut sunnah nabi. Mahu beristeri lebih dari satu.

Tetapi tidak ditunjangi dengan ilmu.

Kisah Kak Yah ini adalah kisah cinta lara. Beliau berdiri sendirian memperjuangkan haknya. Namun tika kegagalan melanda.  Setiap penjuru dunia  mentertawakannya. Melemparkan nista dan cacian.

Termasuk kaum sejenisnya sendiri! 

Dan ianya amat berbekas di hati saya.  Betapa  kawan ketawa tak terbilang jari. Tapi kawan menangis , tak ramai yang sudi!


Khamis, 25 November 2010

SWEET SEVENTEEN

Posted by CIKGU ROS at 2:25 PTG 29 comments
SPM  datang lagi. Teringat betapa berdebar-debarnya saya ketika memasuki dewan peperiksaan.

Dan di sebalik debaran itu, ada kenangan yang saya simpan rapi hingga kini.

Peperiksaan berlangsung selama hampir tiga minggu. Sepanjang peperiksaan,  beberapa orang guru  pengawas peperiksaan bertugas mengawasi kami. Di antaranya terdapat seorang guru lelaki.  Mungkin baru menamatkan pengajian. Dan baru memulakan profesion perguruan. 




Tapi saya terlalu sibuk membelek nota di waktu senggang. Hinggalah pada hari terakhir peperiksaan. Lailati Mohd Noh, teman baik saya membuka rahsia. Ketika itu kami melangkah keluar dari dewan peperiksaan.

"Ros...kamu tak sedar  atau buat-buat tak tahu ?"

"Sedar  pasal apa?" Tanya saya meminta kepastian. Peralatan menulis saya simpan ke dalam beg.  Sambil berbalas senyuman dengan kawan-kawan. Ketika kami berpapasan .  Wajah masing-masing nampak lega. Peperiksaan dah tamat!

"Saya rasa guru pengawas peperiksaan tu sukakan kamu" Saya menghentikan langkah. Muka bulat Lailati saya renung. Dahi saya berkerut.

 " Guru pengawas yang mana satu?"

"Guru pengawas yang paling muda tu. Betul...saya rasa dia sukakan kamu"

"Mana kamu tahu?" Saya  meminta kepastian.


Lailati  menceritakan hasil pemerhatiannya. Perihal tindak tanduk guru itu. Dari hari pertama hingga hari terakhir peperiksaan berlangsung. 

Bagaimana guru muda  itu sentiasa duduk setentang dengan meja barisan saya. Banyak kali melintas di tepi meja saya. Berdiri lama di sebelah saya.  Membelek kad pengenalan saya berulangkali.  Lebih dari  lima kali setiap sessi peperiksaan. Dan selalu mencuri-curi pandang muka saya. Ketika saya asyik menulis jawapan.
"Dan seringkali menghantar kertas jawapan  kosong. Walaupun saya tak memintanya. " Tambah saya.


Saya tersenyum mendengar cerita Lailati. Dalam hati saya mengakui kebenaran pemerhatian teman baik saya itu. Semua perkara itu memang benar berlaku. Namun saya terlalu bimbang dengan peperiksaan. Hingga tiada  masa untuk  mengendahkannya.

Tiba-tiba Arman, bekas teman sekelas mendekati kami. Menyerahkan sepucuk surat.

"Jangan tanya apa-apa. Semalam, Cikgu Az minta aku tolong sampaikan ." Bicara Arman mengunci mulut kami. Saya terpinga-pinga!


Lailati segera menyambut dan membukanya. Kami berkawan baik sejak di tingkatan empat lagi. Tiada rahsia antara kami.


"Ros...Cikgu Az memang sukakan kamu. Dia nak berkenalan dengan kamu! Betul tak apa yang saya sangka?" Lailati menjerit-jerit kesukaan. Sambil mengibar-ngibar helaian surat ke muka saya.

"Eh, dia beri nombor telefon la. Kamu fikir tak apa yang saya fikirkan!"  Bisik saya. 

Lailati memandang saya. Saya merenung semula Lailati.  Kami sama-sama tersenyum. Ada rencana nakal  yang mula tergambar dalam kepala! Saya dan Lailati segera berlari.  Meluru ke pondok telefon .


Lailati membacakan nombor. Saya pula  memegang gagang sambil mendail.



Panggilan saya bersambut. Kebetulan Cikgu Az sendiri yang menyambutnya. Kami berbual-bual. Bercerita perihal diri masing-masing. Lailati di sebelah turut sama menekupkan telinga di gagang telefon. Turut mahu mendengar perbualan kami. Dan tiba-tiba.....


"Eh...awak ni tersalah nomborlah. Ini bukan rumah Encik Ibrahim. Ini nombor rumah Encik......"  Tiba-tiba Cikgu Az menukar topik perbualan. Saya terkejut. Lailati terkejut sama.

"Emak saya ada di sebelah ni. Dia asyik bertanya dengan siapa saya bercakap. Lain kali kamu telefon saya ya." Sayup-sayup saya terdengar suara Cikgu Az berbisik.  Perlahan-lahan gagang telefon saya letak.

"Anak emak rupanya.......hahaha." Saya dan Lailati sama-sama menjerit. Ketawa kami berderai. 

Dan ianya berakhir di situ. Selepas itu saya tidak pernah lagi menelefon ' anak emak'   itu. Tetapi  suratnya saya simpan sebagai kenang-kenangan.


Peristiwa ini berlaku bertahun dulu. Di saat saya terlalu muda untuk mengenal erti apa itu cinta.  Selepas itu saya terlalu sibuk meneruskan pelajaran di peringkat seterusnya.


Tambahan pula saya sendiri tidak berminat menyambut cinta guru muda itu.




 Tapi setiap kali menonton filem P.Ramlee  Ibu Mertuaku , saya teringatkannya. Adegan Sarimah tiba-tiba menukar tajuk perbualan serupa dengan apa yang saya alami. Dan saya pula  seperti Kassim Selamat...yang terpinga-pinga sendiri.

Selasa, 23 November 2010

TUHAN MAHA TAHU!

Posted by CIKGU ROS at 11:07 PTG 21 comments
Pernahkah dalam hidup, ada sesuatu yang anda keluhkan.

Dan tiba-tiba keluhan anda itu seakan dijawab oleh Tuhan. Pernahkah anda?

Saya pernah mengalaminya....


Satu petang, saya mengeluh di tepi tingkap. Mengeluhkan sebatang pokok mangga . Yang tumbuh di tepi rumah.

Besar dan tinggi pokoknya. Buahnya pula bersaiz besar. Sebesar penumbuk lelaki dewasa bila masak ranum. Manis , lemak dan rangup. Walaupun ketika masih muda.




Namun beberapa tahun kebelakangan ini , lalat buah selalu menyerang. Hingga rosak berulat buah mangga ini ketika masak .

Situasi ini merisaukan saya. Ketinggiannya tidak memungkinkan saya membalut buahnya ketika putik.

Menyebabkan setiapkali musim buah, saya selalu melihat dengan sayu. Buah mangga  berulat gugur ke tanah begitu saja.

"Tahun ini pun sama.  Tak dapatlah merasa buah mangga ini." Keluh saya dalam hati. 


Dan keesokan hari. Tanpa angin. Tiada ribut. Pokok mangga yang saya keluhkan akhir-akhir ini tumbang.

Rebah menyembah bumi! 

Dan hari itu, hampir empat guni mangga muda terkumpul. Ianya saya sedekahkan kepada jiran tetangga dan kawan-kawan.

Walaupun telah rebah, pokok itu masih hidup. Ini kerana akarnya masih tertanam di dalam tanah. 

Daun-daun lama gugur. Digantikan dengan daun baru.

Dan beberapa tahun kemudian, pokok itu mengeluarkan bunga dan berbuah semula.

Dan kini, saban tahun saya boleh menikmati buahnya yang manis. Proses membalut buah putiknya sangat mudah. Begitu juga proses memetik.

Kerana hujung pokok berada tidak jauh dari tanah.

Dan setiap kali memandangnya, hati saya bagai diusik.  Agar jangan sesekali mengeluh dengan kerja Tuhan.

Kerana sesungguhnya...... Tuhan Maha Tahu!

Ahad, 21 November 2010

Si Lurus Bendul

Posted by CIKGU ROS at 11:54 PTG 0 comments
Satu petang, seseorang menelefon. Mengaku sekampung dengan saya. Saya sendiri ingat-ingat lupa.

Tapi kerana katanya bekas teman sekolah, saya layan juga. Walaupun dalam hati tertanya-tanya. Dari mana beliau mendapat nombor telefon saya.



Bukan setakat bertanya khabar. Beliau bercerita mengenai satu projek.

Mahu membangunkan kampung kami. Kertas kerja dalam proses. Keuntungan memang menarik. Dan menawarkan saya sebagai salah seorang pelabur.



Saya tidak tertarik dengan keuntungan yang diwar-warkan. Sebaliknya tertarik dengan gagasannya. Mahu membantu rakan-rakan sekampung yang lain.



Ini kerana bukan semua rakan seangkatan yang bernasib baik. Merempat pun bukan sedikit.

Oleh itu, projek itu kalau berjaya mungkin membawa kebaikan kepada sahabat-sahabat kami yang lain.

"Okey, saya setuju. Hubungi saya semula."

"Cepatnya kamu setuju. Kenapa?"

"Dah kamu kata projek ini bagus. Jadi tak salah kalau saya setuju." Jawab saya.

"Kamu macam arwah Pak Hussin, bapak kamu."

"Kenapa dengan kami?" Soal saya mahu tahu.

"Arwah bapak kamu pun jenis tak banyak soal. Selalu main ikut je. Mudah sangat percayakan orang. Si Lurus Bendul!" Saya faham maksudnya.

"Hello kawan. Lurus bendul tak bermaksud bodoh tau. Tapi Si Lurus Bendul nie selalunya Allah pelihara. Sesiapa yang berniat tak baik pada kami selalunya tak menjadi." Bela saya.

Dalam hati saya teringat arwah bapak saya yang tidak pernah bergaduh dengan sesiapa. 

Gagang telefon saya hempas. Geram rasanya bila seseorang mengaitkan arwah bapak saya. Hujah saya itu menutup bicara kami di telefon petang itu. 
 
Itulah panggilan yang pertama. Itu juga yang terakhir. Selepas itu saya tidak menerima apa-apa lagi panggilan darinya.

Mungkin kerana sahabat lama saya itu tidak sampai hati menipu Si Lurus Bendul ini agaknya....hehehe.


Kisah Si Lurus Bendul rupanya tidak mati di situ.

Satu hari yang lain, seorang sahabat baik saya pula. Membangkitkan rasa kurang senangnya dengan sikap lurus bendul saya.
"Kenapa kamu nie lurus bendul sangat?" Luah kawan saya itu.

"Salah ke?" Bidas saya balik.

"Tak salah. Tapi ramai orang akan mengambil kesempatan atas kamu nanti. Kamu terlalu mudah percaya dengan orang lain. Cuba kamu belajar berkata tidak." Nasihat kawan saya itu lagi.

"Saya dah cuba. Tapi tak boleh. Saya mudah rasa kasihan." Akui saya jujur.

"Kamu nak jadi wali ke?" Terbak kawan saya itu lagi.

"Hehehe...layak ke saya jadi wali?" Soal saya balik.

"Dah tu kenapa berlagak konon-konon macam orang baik sangat?"

"Sebabnya...saya keturunan nabi."

"Nabi." Saya lihat dahi kawan saya itu berkerut.

"Nabi Adam." Jawab saya ringkas. Dan kami sama-sama ketawa. Sama-sama faham apa maksud saya.

CUTI SEKOLAH DATANG LAGI

Posted by CIKGU ROS at 6:34 PG 3 comments


Cuti sekolah datang lagi. Bermakna banyak masa terluang. Banyak aktiviti boleh dilakukan. Dan saya terkenang zaman kanak-kanak saya. Mengharungi kehidupan anak kampung.

Seawal pagi cuti sekolah, kami telah mula berkumpul. Zainah, Roslan, Sudin, Rosnah, Norizah dan Normazelah. Beberapa orang teman sepermainan.



Roslan biasanya diangkat menjadi ketua. Menentukan aktiviti yang akan kami lakukan hari itu.


Roslan suka bermain layang-layang. Kami yang lain terikut-ikut. Setiap orang akan membuat layang-layang sendiri. Dari kertas surat khabar dan bilah-bilah buluh. Gam pula dari kanji yang dimasak untuk melekatkannya. Dan kadang-kadang digantikan dengan nasi jika kehabisan gam.


Setelah siap kami akan cuba menerbangkan layang-layang masing-masing. Tapi layang-layang saya tak pernah naik.Dan selalunya Roslan akan menghadiahkan saya layang-layangnya yang boleh terbang tinggi .
Image result for bermain layang-layang

Kerana itulah saya tidak pandai membuat layang-layang hingga sekarang!

Pada hari yang lain, kami pergi bermain rakit-rakit. Beberapa batang buluh akan diikat dengan tali rapat-rapat. Setelah siap kami akan berlumba berakit. Menghilir  sungai di anak sungai. Di hujung kampung. Dan selepas itu kami akan mandi beramai-ramai.

Image result for bermain rakit sungai

Kami juga pernah mengikut Roslan menimba kolam ikan di belakang rumahnya. Air kolam akan diceduk keluar dengan baldi. Hingga hampir kering.



Setelah itu kami akan berlumba-lumba menangkap ikan keli, belut, sepat dan haruan. Mana-mana lubang yang ada di birai kolam kami seluk.

Seronok rasanya bila dapat menangkap ikan di dalam lubang. Selepas itu, berbaldi-baldi ikan kami bawa balik ke rumah.
Image result for menimba ikan

Kadang-kadang kami bermain pondok-pondok. Membuat rumah kecil dari dahan dan ranting pokok.

Kemudian menguli kuih dari tanah liat dan menjemurnya hingga kering. Kuih tanah itu dihidangkan dengan bunga-bunga dan daun-daun kayu.

Selepas itu, kami akan saling menziarahi pondok kawan-kawan yang lain. Sambil menyanyi lagu-lagu hari raya!
Image result for main pondok-pondok


Cuti panjang akhirnya tamat. Kami akan ke sekolah semula. Dan sepanjang persekolahan saya selalui merindui  datangnya cuti panjang.Kerana saya tahu Roslan akan merancang aktiviti yang lebih menarik di cuti akan datang!









Sabtu, 20 November 2010

PAHITNYA BERMADU...SEPAHIT HEMPEDU!

Posted by CIKGU ROS at 9:47 PG 6 comments
Satu hari saya terjumpa lesung yang telah rosak.   Berlubang di bahagian tengah.

Lesung itu kepunyaan kak Yah, jiran saya. Saya sering melihat beliau menggunakannya.

Hal lesung berlubang tengah itu tidak habis di situ. Ianya saya ceritakan kepada emak. Bulat mata emak mendengarnya.

"Petanda tak baik". Gumam emak.
 
"Kenapa?" Soal saya, ingin tahu.


"Orang tua-tua kata...rumahtangga mereka akan porak peranda". Suara emak resah di hujung.

 Dan secara kebetulan. Tiga bulan kemudian andaian emak menjadi kenyataan.


Rumahtangga jiran kami itu benar-benar dilanda badai. Suami Kak Yah main kayu tiga. Bukan dengan orang lain. Tapi dengan bekas kakak ipar sendiri.

Bila kecurangan suaminya terbongkar, pelbagai usaha Kak Yah lakukan.

Merayu pada suami agar melupakan bekas iparnya. Langsung tidak dihirau.

Melutut pada bekas biras agar mengasihani anak-anak. Juga tidak dipeduli.

Berubat melalui bomoh agar suaminya sedar balik. Malah tidak berkesan.

Meminta orang-orang tua kampung agar menasihati suaminya.  Juga tidak berbekas.

Hingga akhirnya Kak Yah pasrah. Dan mungkin sudah tersurat. Kak Yah bermadu juga akhirnya.

Sejak hidup bermadu, apa yang Kak Yah takuti benar-benar terjadi. Suami Kak Yah tidak pernah berlaku adil.  

Sejak itu .. senyum di bibir Kak Yah sudah hilang. Raut wajahnya yang selalu ceria bertukar kepedihan yang sukar ditafsirkan. Di matanya penuh kemarahan dan dendam.

Dan sesekali air mata Kak Yah tertumpah di hadapan saya. Kak Yah saya sudah jauh berubah!

Hingga kini kisah lesung Kak Yah  yang rosak  berlubang di tengah terus menghantui saya. Kerana darinya   saya belajar dari Kak Yah betapa pahitnya hidup bermadu!


"Pahitnya bermadu...sepahit hempedu!" Kata-kata Kak Yah hingga kini terngiang-ngiang di telinga saya.

Jumaat, 19 November 2010

THE APPLE OF MY EYE

Posted by CIKGU ROS at 10:17 PTG 2 comments
The apple of my eye. Maknanya seseorang yang paling kita sayangi. 

Selalu saya tertanya sendiri. Apa akan terjadi kalau setiap guru mempunyai murid yang dianggapnya the apple of my eye. 

Tidak rosakkah hati anak murid lain jika mendengarnya?

Seorang bekas pelajar  perempuan saya pernah mengadu tentang hal ini.  Guru kelasnya secara terang-terang menyebut. Hanya menyukai seorang sahaja murid di kelasnya. Manakala murid lain dibenci. Termasuk pelajar perempuan saya itu.

Teresak-esak dia menangis ketika bercerita. Begitu rosak hatinya. Mendengar pengakuan ikhlas dari guru kelasnya itu.




"Tak apalah. Kalau kita sayang orang, orang lain akan sayang kita." Pujuk saya.

"Tapi kalau kita benci orang, nanti orang lain pun akan benci kita balik." Tambah saya lagi.

Dan dua hari lepas, soalan mengenai siapa the apple of my eye    diajukan kepada saya. Tiga orang anak murid saya meminta kepastian.

"Antara kami, siapa yang paling cikgu sayang?"



Wajah Farah, Puteri dan Bella saya renung satu persatu. Saya selalu bergurau . Dan kali ini saya mahu bergurau lagi.


Saya mahu menyebut nama salah seorang dari mereka. Tentunya nama yang tidak disebut akan menjerit-jerit.

Marahkan saya. Kerana tidak menjadi the apple in my eye saya.

Tiba-tiba peristiwa bekas pelajar perempuan saya menangis teresak-esak   menerpa di ruang fikiran. Lalu saya mengubah fikiran.

"Semuanya cikgu sayang."

"Betul?"

"Betul...semuanya cikgu sayang."

"Sayaaang cikgu..." Jawab ketiga-tiganya serentak lalu memeluk saya.

Dan saya tersenyum puas!
 

Catatanku, Memoriku Copyright © 2010 Design by Ipietoon Blogger Template Graphic from Enakei