Ahad, 21 November 2010

Si Lurus Bendul

Posted by CIKGU ROS at 11:54 PTG
Satu petang, seseorang menelefon. Mengaku sekampung dengan saya. Saya sendiri ingat-ingat lupa.

Tapi kerana katanya bekas teman sekolah, saya layan juga. Walaupun dalam hati tertanya-tanya. Dari mana beliau mendapat nombor telefon saya.



Bukan setakat bertanya khabar. Beliau bercerita mengenai satu projek.

Mahu membangunkan kampung kami. Kertas kerja dalam proses. Keuntungan memang menarik. Dan menawarkan saya sebagai salah seorang pelabur.



Saya tidak tertarik dengan keuntungan yang diwar-warkan. Sebaliknya tertarik dengan gagasannya. Mahu membantu rakan-rakan sekampung yang lain.



Ini kerana bukan semua rakan seangkatan yang bernasib baik. Merempat pun bukan sedikit.

Oleh itu, projek itu kalau berjaya mungkin membawa kebaikan kepada sahabat-sahabat kami yang lain.

"Okey, saya setuju. Hubungi saya semula."

"Cepatnya kamu setuju. Kenapa?"

"Dah kamu kata projek ini bagus. Jadi tak salah kalau saya setuju." Jawab saya.

"Kamu macam arwah Pak Hussin, bapak kamu."

"Kenapa dengan kami?" Soal saya mahu tahu.

"Arwah bapak kamu pun jenis tak banyak soal. Selalu main ikut je. Mudah sangat percayakan orang. Si Lurus Bendul!" Saya faham maksudnya.

"Hello kawan. Lurus bendul tak bermaksud bodoh tau. Tapi Si Lurus Bendul nie selalunya Allah pelihara. Sesiapa yang berniat tak baik pada kami selalunya tak menjadi." Bela saya.

Dalam hati saya teringat arwah bapak saya yang tidak pernah bergaduh dengan sesiapa. 

Gagang telefon saya hempas. Geram rasanya bila seseorang mengaitkan arwah bapak saya. Hujah saya itu menutup bicara kami di telefon petang itu. 
 
Itulah panggilan yang pertama. Itu juga yang terakhir. Selepas itu saya tidak menerima apa-apa lagi panggilan darinya.

Mungkin kerana sahabat lama saya itu tidak sampai hati menipu Si Lurus Bendul ini agaknya....hehehe.


Kisah Si Lurus Bendul rupanya tidak mati di situ.

Satu hari yang lain, seorang sahabat baik saya pula. Membangkitkan rasa kurang senangnya dengan sikap lurus bendul saya.
"Kenapa kamu nie lurus bendul sangat?" Luah kawan saya itu.

"Salah ke?" Bidas saya balik.

"Tak salah. Tapi ramai orang akan mengambil kesempatan atas kamu nanti. Kamu terlalu mudah percaya dengan orang lain. Cuba kamu belajar berkata tidak." Nasihat kawan saya itu lagi.

"Saya dah cuba. Tapi tak boleh. Saya mudah rasa kasihan." Akui saya jujur.

"Kamu nak jadi wali ke?" Terbak kawan saya itu lagi.

"Hehehe...layak ke saya jadi wali?" Soal saya balik.

"Dah tu kenapa berlagak konon-konon macam orang baik sangat?"

"Sebabnya...saya keturunan nabi."

"Nabi." Saya lihat dahi kawan saya itu berkerut.

"Nabi Adam." Jawab saya ringkas. Dan kami sama-sama ketawa. Sama-sama faham apa maksud saya.

0 comments:

 

Catatanku, Memoriku Copyright © 2010 Design by Ipietoon Blogger Template Graphic from Enakei