Cuti sekolah datang lagi.
Bermakna banyak masa terluang. Banyak aktiviti boleh dilakukan. Dan saya
terkenang zaman kanak-kanak saya. Mengharungi kehidupan anak kampung.
Seawal pagi cuti sekolah, kami
telah mula berkumpul. Zainah, Roslan, Sudin, Rosnah, Norizah dan Normazelah.
Beberapa orang teman sepermainan.
Roslan biasanya diangkat
menjadi ketua. Menentukan aktiviti yang akan kami lakukan hari itu.
Roslan suka bermain
layang-layang. Kami yang lain terikut-ikut. Setiap orang akan membuat
layang-layang sendiri. Dari kertas surat khabar dan bilah-bilah buluh. Gam pula
dari kanji yang dimasak untuk melekatkannya. Dan kadang-kadang digantikan
dengan nasi jika kehabisan gam.
Setelah siap kami akan cuba
menerbangkan layang-layang masing-masing. Tapi layang-layang saya tak pernah
naik.Dan selalunya Roslan akan menghadiahkan saya layang-layangnya yang boleh
terbang tinggi .
Kerana itulah saya tidak
pandai membuat layang-layang hingga sekarang!
Pada hari yang lain, kami
pergi bermain rakit-rakit. Beberapa batang buluh akan diikat dengan tali
rapat-rapat. Setelah siap kami akan berlumba berakit. Menghilir sungai di anak sungai. Di hujung kampung. Dan
selepas itu kami akan mandi beramai-ramai.
Kami juga pernah mengikut
Roslan menimba kolam ikan di belakang rumahnya. Air kolam akan diceduk keluar
dengan baldi. Hingga hampir kering.
Setelah itu kami akan
berlumba-lumba menangkap ikan keli, belut, sepat dan haruan. Mana-mana lubang
yang ada di birai kolam kami seluk.
Seronok rasanya bila dapat
menangkap ikan di dalam lubang. Selepas itu, berbaldi-baldi ikan kami bawa
balik ke rumah.
3 comments:
main batang ubi,,buat kereta sorong
main batang ubi,,buat kereta sorong
zaman moden semah...fb nie buat kita dekat tapi jauh...hahaha
Catat Ulasan