Isnin, 29 November 2010

ADUHAI DUNIA

Posted by CIKGU ROS at 2:12 PTG
Ingat tak lagi kisah Kak Yah, jiran saya.   Kisahnya  pernah saya ceritakan dalam episod Pahitnya Bermadu...Sepahit Hempedu. 

Kali ini saya mahu menyambung cerita itu. Cerita perihal usahanya.  Menentang suaminya berkahwin lagi!


Apa saja yang tidak beliau lakukan. Termasuk cara  berhemah di peringkat awal.

Dari merayu kepada suami, berlutut pada bekas biras, menggunakan khidmat bomoh hinggakan meminta jasa baik   orang tua kampung menasihati suaminya.


Namun semua itu  tidak berkesan. Dan akhirnya Kak Yah mula bertindak agresif. Melancarkan  perang gerila ke atas suami dan saingannya!

Dan seperti seorang pejuang yang terluka. Kak Yah   mencuba seberapa daya. Dalam usaha merebut kembali cinta suaminya.

Mulai detik itu. Kak Yah sentiasa berusaha mengganggu rancangan suaminya.

Ada sekali Kak Yah bertindak nekad.  Menyerang 'kekasih suaminya'. Beliau memukul dan menyumpah seranah. Mereka bergaduh bertarik rambut di pasar!


Dan bila hal ini sampai ke pengetahuan suaminya, Abang Mat naik angin. 

Hari itu hampir saja Abang Mat menembak Kak Yah dengan senapang RELAnya.  Mujur jiran-jiran berjaya menghalang.

Jika tidak, nyawa kak Yah mungkin sudah melayang.

"Aku puas...." Luah Kak Yah pada emak.  Sambil tersenyum. di malam itu.  Dengan mata  yang bersinar-sinar.  Penuh dendam dan kebencian. 

Dan saya terbayang-bayang. Hingga kini!

Kemanisan berumahtangga antara Kak Yah dan Abang Mat sudah tiada. Setiap hari ada saja perkara yang dipertengkarkan. Yang berakhir dengan Abang Mat bergegas keluar dari rumah.

Mencari cinta barunya.

Manakala anak-anak pula senyap menikus. Menikmati neraka dunia ciptaan ibu bapa mereka.  
    

Namun sudah tersurat, Kak Yah bermadu juga akhirnya. Semakin kuat tentangan Kak Yah. Semakin kuat keinginan Abang Mat untuk menikahi kekasihnya.

Dan mereka berkahwin juga akhirnya.
Dan selepas berkahwin, apa yang Kak Yah takuti benar-benar terjadi. Istilah membahagi dapur, membahagi kasih dan seterusnya membahagi tempat tidur  tidak ada dalam kamus Abang Mat.

Beliau tidak balik ke rumah langsung.

Dan membiarkan Kak Yah terkontang-kanting mencari rezeki sendiri. Begitu juga urusan rumahtangga dan anak-anak. Semuanya dibebankan dibahu kak Yah seorang.

Satu malam Kak Yah mencari emak. Mereka berbual-bual di ruang tamu.

Saya turut duduk tidak jauh dari mereka. Pura-pura membaca buku. Sambil mencuri-curi dengar perbualan mereka.

"Aku nak lari dari sini." Kak Yah separuh berbisik. Meluahkan perasaan.

"Kamu dah gila , Yah!" Bentak emak.

"Aku dah tak tahan. Abang Mat berlepas tangan terus."

"Anak-anak macam mana?"

"Ayah mereka ada. Biar Abang Mat rasakan betapa susahnya menjaga mereka. " Tegas Kak Yah. Menutup bicara malam itu. Sebelum bersalaman dan berpelukan dengan emak.


Rupanya Kak Yah sudah nekad malam itu. Keesokan hari, anak-anak Kak Yah gempar. Ibu mereka keluar awal pagi.

Dan tidak pulang-pulang hingga larut malam!

Abang Mat marah-marah  ketika dipanggil pulang. Muka isteri barunya masam mencuka. Dan mahu tak mahu mereka  terpaksa mengambil alih menguruskan anak-anak.


Lama kemudian baru kami tahu. Kak Yah lari pulang ke kampung asalnya. Membuka kedai makan di situ.

Dengan harapan membina kehidupan baru. Dan melupakan kesedihan yang bersarang di hati. 

Namun Kak Yah silap perhitungan. Perniagaan kedai makannya tidak menguntungkan. Malahan terpaksa pula menanggung hutang. 

Hingga  memaksa Kak Yah pulang semula ke kampung kami. Beberapa tahun kemudian.

Namun episod duka Kak Yah tidak berhenti di situ. Kepulangannya disambut dengan berita duka.

Kak Yah hampir pengsan ketika diberitahu.  Anak perempuan keduanya mengandung tanpa bapa yang sah.

Manakala seorang lagi anak perempuannya berkahwin lari.  Mengikut seorang lelaki Indonesia. Pekerja ladang di kampung kami.

Dan lebih memburukkan keadaan, Kak Yah tidak berhak menuntut harta sepencarian jika bercerai.

Beliau dituduh nusyuk. Lari dari ketaatan suami  Namun atas belas ehsan Abang Mat, Kak Yah dibenarkan tinggal di rumah lama mereka..

Sejak itu, pandangan masyarakat terhadap Kak Yah begitu menyakitkan. Masyarakat sekeliling menganggap Kak Yah  isteri derhaka.

Beliau dituduh terlalu emosi. Terlalu mengikut perasaan .

Lebih tepat lagi tidak redha dengan ketentuan Tuhan!

Beliau dituduh penyebab anak-anaknya  menjadi  masalah sosial kepada masyarakat.

Dan sekali lagi Kak Yah berdiri sendirian. Menghadapi cemuhan masyarakat pula.

Hingga kini, saya tetap menyebelahi Kak Yah.

Bagi saya beliau  sebenarnya mangsa keadaan. Mangsa suami yang kononnya mahu mengikut sunnah nabi. Mahu beristeri lebih dari satu.

Tetapi tidak ditunjangi dengan ilmu.

Kisah Kak Yah ini adalah kisah cinta lara. Beliau berdiri sendirian memperjuangkan haknya. Namun tika kegagalan melanda.  Setiap penjuru dunia  mentertawakannya. Melemparkan nista dan cacian.

Termasuk kaum sejenisnya sendiri! 

Dan ianya amat berbekas di hati saya.  Betapa  kawan ketawa tak terbilang jari. Tapi kawan menangis , tak ramai yang sudi!


15 comments:

Siti Zuraidah Ismail berkata...

Roslezah Hussin sahabat yang ku kenal memang hebat mengarang, bermain perkataan, membuai jiwa dengan gaya bahasanya.
Syabas ros, membaca blog mu buat siti terkenang zaman kanak2 tinggal di kampung dulu.... INDAHNYA!!!

Aliza Alias berkata...

itulah k.zah.sentiasa dgn gelak tawa yang xabis2...

Aminuddin Mohd. Diah berkata...

Hebat betul Cikgu Ros ni..boleh dibuat filem cerita terbaru tu..

Saparin b. Rojan berkata...

Bagi saya , Kak yah terlalu mengikutkan emosi..cuba fikir kalau kak yah tak lari dia mendidik anak2 dia sehingga berjaya..kemudian anak dia semua keluar universiti dan akhirnya akan menjaga kak yah..Kak Yah bukan mangsa keadaan tapi mangsa mengikut perasaan.

CIKGU ROS on 3 Disember 2010 pada 12:55 PTG berkata...

Siti...tqvm dgn komen awak. saya cuma mengaplikasi semula apa yg saya lalui dan lihat selama ini. dan diangkat semula dalam bentuk penulisan...hehehe..isi masa lapang musim cuti2 sekolah nie...

CIKGU ROS on 3 Disember 2010 pada 12:56 PTG berkata...

Amin. + Saparin....citer kak yah nie citer biasa dah...memang citer yang berlaku di sekeliling kita...cuma kadang2 kita semakin kurang prihatin akibat terlalu sibuk ...betul x?

Aminuddin Mohd. Diah berkata...

Sebenarnya..inilah masalah paradigma melayu lama sukar menilai sesuatu suasana negatif dipegang sebagai suatu cabaran demi membuktikan sesuatu yang jauh menjadi positif..simpati hanya sementara tetapi kecemerlangan akibat mangsa suasana akan diingat sehingga keakhir hayat..Tahniah kepada Tuan Saparin..Mungkin Cikgu..anda salah satu contoh paradigma melayu baru..saya yakin anda akan cemerlang dalam kerjaya anda..InsyaAllah..

Siti Zuraidah Ismail berkata...

x boleh salahkan kak yah 100%, dalam keadaan emosi yg tertekan, keputusan d buat mengikut perasaan. Yg sepatutnya memainkan peranan ialah individu d sekeliling kak yah yg sepatutnya membantu merasionalkannya. Anyway seorg wanita berkerjaya, lazimnya tidak akan mengambil pendekatan sebegitu.

CIKGU ROS on 3 Disember 2010 pada 12:58 PTG berkata...

kata orang..berat mata yang memandang, berat lagi bahu yang memikul...kenapa semua kesalahan harus diletakkan di bahu kak yah seorang. Dan suami kak yah tetap di pandang mulai di mata masyarakat. seolah2 x ada dosa langsung. adilkah dunia?

CIKGU ROS on 3 Disember 2010 pada 12:58 PTG berkata...

kawan2...kisah ini adalah kisah benar yang saya lihat dengan mata sendiri....kepedihan kak yah meresap dalam jiwa saya bertahun2...lalu saya angkat dalam bentuk penulisan utk dikongsi dgn semua...agar jgn ada lagi kak yah kedua

Aliza Alias berkata...

Pada saya ianya bergantung kepada kekuatan pengangan agama, kekuatan mental dan jatidiri seseorg. k.yah versi lama dan k.yah versi baru.kedua-dua sinario ini ada berlaku dgn org disekeliling saya. anak2 pula harus memainkan peranan mereka.pikir yang terbaik jika keadaan sudah jadi begitu.tp yang saya sedih.ada ibu yg sanggup berkorban apa saja demi anak2.tp anak2 jadi xsedar diri.xtahu menilai pengorbanan ibunya.itulah dunia. Allah menguji hambanya mengikut kemampuan mereka.semoga cerita k.yah kita jadikan iktibar.

Saparin b. Rojan berkata...

Betul kata Cg Ros, kita tak boleh salahkan kak Yah 100% suami kak Yah juga harus disalahkan kerana gagal mendidik anugerah yang diberikan tuhan dengan mendidik anak2 kejalan yang betul. Suami Kak Yah hanya mengikut nafsunya tanpa memperduli...kan tanggungjawab untuk mendidik anak2 sehingga berjaya...Isteri baru suami kak yah juga harus dipersalahkan kerana hanya inginkan suami kak yah tanpa memperdulikan anak2 kak Yay. Anak2 yang dahagakan Kasih sayang akan mencari kasih sayang diluar dimana segala kepercayaan diberikan pada orang yang Salah. Senerio ini banyak berlaku dimasyarakat kita dan seperti yang Cg Aliza kata hanya kekuatan pegangan agama akan menjadi seseorang itu kuat utk menempuh dugaan kerana dgn kekuatan jati diri dan tawaqal kepada tuhan sega dugaan yang diberikan akan ditempuhi dgn kesabaran dan kesyukuran.

Siti Zuraidah Ismail berkata...

SETUJU. Pegangan agama sgt penting dalam menghadapi dugaan hidup terutama dlm persekitarn sosial zaman kini

CIKGU ROS on 3 Disember 2010 pada 1:01 PTG berkata...

si saparin nie kalu jadi cikgu kaunseling kat sekolah...habis menganga belake murid-murid dengar kata-kata

Saparin b. Rojan berkata...

Hahaha...Jagnlah sindir Cg Ros...saya tak ade lesen nak mengajar nanti terbawak ajaran sesat siapa yang susah...mereka dan keluarga mereka juga yang susah..

 

Catatanku, Memoriku Copyright © 2010 Design by Ipietoon Blogger Template Graphic from Enakei