Melangkah ke sekolah menengah, situasi mula berbeza.
Cara layanan guru terhadap kami turut berbeza. Tidak sama seperti guru-guru saya ketika di sekolah rendah.
Namun guru kelas saya ketika di tingkatan satu begitu memahami. Cikgu Ahmad Iskandar menjadikan kami seperti sahabatnya.
Beliau suka bergurau dengan kami. Malahan sentiasa mendengar masalah kami. Dan selalu juga menjatuhkan hukuman, jika kami melanggar disiplin.
Beliau ketika itu baru keluar dari maktab perguruan. Bersemangat tinggi. Beliau mengajar subjek Bahasa Inggeris dan Sejarah ketika itu.
Pernah sekali beliau bercerita di dalam kelas Sejarah. Mengenai faktor keruntuhan kerajaan Melayu Melaka .
Kisah seorang wanita yang sanggup berenang sendirian ke kapal perang Alfonso De Albueque di malam hari. Sekadar mahu membocorkan rahsia rancangan kerajaan Melayu Melaka Lama. Yang mahu menyerang kapal perang Portugis menjelang subuh!
 |
Cikgu Ahmad Iskandar |
Saya begitu teruja mendengar cerita itu. Dalam hati .tertanya-tanya. Mengapakah wanita itu sanggup mengkhianati negaranya sendiri.
Sejak itu berbagai buku saya kaji. Termasuk Hikayat Pelayaran Munshi Abdullah. Namun tidak menemui kebenaran fakta ini.
Hinggalah apabila saya berpeluang menghubunginya baru-baru ini. Beliau ketawa ketika saya ajukan keesahan cerita ini.
"Itu cerita tambahan saja. Sebagai penambah sedap cerita." Ringkas jawapannya.
Tapi melenyapkan persoalan yang bertahun-tahun menghantui saya.
Guru Bahasa Melayu saya ketika di tingkatan dua pula ialah Cikgu Ismail Sayuthi. Beliau begitu penyabar orangnya.
Kami selalu berebut-rebut memberi pendapat ketika beliau mengajar. Kerana kami tahu beliau akan setia melayani karenah kami.
Dan di antara ramai murid-muridnya. Sayalah yang paling suka menyanggah setiap pendapatnya.
Nasib baiklah beliau tidak berdendam dengan saya. Kalau tidak, bagaimanalah saya mahu berkomunikasi dengannya.
Kerana tidak lama kemudian, beliau menjadi abang ipar saya. Suami kepada kakak saya!
Saya juga masih ingat dengan guru subjek Sains Pertanian kami, Cikgu Zek.
Guru ini suka mengarah, buat itu dan ini. Tanam pokok hiasan di sekeliling padang sekolah. Pergi ambil baja tahi lembu dan macam-macam lagi.
Tapi kami tak pernah membantah.
Satu kelaziman guru ini. Suka menyebut sesuatu perkataan akhir dengan panjang. Namun lama-kelamaan gaya percakapan guru itu semakin hilang.
Mungkin beliau telah menyedari. Kelazimannya itu telah menjadi bahan gurauan kami. Ampun cikgu Zek!
Dan saya masih terbayang-bayang. Setiap kali beliau memberi arahan.
Contohnya arahan pergi buat batas. Beliau baru menyebut .......”pergi buat...ba...." dan kami menyahut ramai-ramai ”taaaaaaaas.”
Hingga kelas riuh rendah dengan hilai tawa kami jadinya.
Saya juga begitu meminati aktiviti luar. Oleh itu saya menyertai pengakap ketika di sekolah menengah. rendah.
Untungnya guru pemimpin pengakap ketika itu banyak ilmu dan pengalaman. Cerita-cerita dari pengalaman lalunya sering menaikkan semangat saya.
Dan kerana beliaulah, saya begitu menggilai pergerakan pengakap hingga ke hari ini. Terima kasih Cikgu Samad!
 |
Sekadar gambar hiasan |
Guru Geografi saya di tingkatan 5 seorang ustaz. Beliau terlalu sibuk dengan tugasan sebagai penolong Kanan sekolah.
Di hari keputusan SPM diumumkan, beliau mengumpulkan sebahagian dari kami. Meminta maaf dan minta dihalalkan dunia akhirat.
Beliau rasa bertanggungjawab di atas keputusan subjek itu yang puratanya tidak memberangsangkan.
Di tahun-tahun akhir persekolahan, saya begitu sibuk dengan persediaan menghadapi SPM . Hingga kurang menghayati kemanisan zaman persekolahan,
Namun ada waktunya...saya merindui semua guru-guru saya ketika itu. Ada di antara mereka yang masih sihat.
Dan buat sebilangan mereka yang telah meninggal dunia, hanya Al-Fatehah dari saya.
Terima kasih cikgu-cikgu saya!