Isnin, 13 Disember 2010

BERI, JANGAN TAK BERI !

Posted by CIKGU ROS at 7:54 PG
"Hai Mila." Tegur Majid. Ketika itu mereka berpapasan  di tengah jalan.

Mila cuma membisu.   Menjeling dan cepat-cepat berlalu. Buat-buat tak tahu.

Dan seperti selalu.  Majid yang ditinggalkan  termangu-mangu. Sedih dalam hati cuma Tuhan yang tahu. 

Majid dan Mila adalah teman sepermainan sejak kecil. Tapi semakin dewasa, perasaan Majid terhadap Mila berubah. Majid setengah mati gilakan  Mila.
Sekadar gambar hiasan.


Tapi Mila tak pernah layan.  Berbagai cara telah Majid lakukan. Untuk menambat hati Mila.

Hantar surat cinta. Tak pernah berbalas. Mengusik Mila di tengah jalan. Semakin Mila marah. Berkirim salam. Tak pernah berjawab.  Hantar hadiah. Dipulangkan semula.

Hingga Majid hampir putus asa. Rasa kecewa tak boleh cerita. Dan timbulnya idea gila ini.

Petang itu, ahli jemaah masjid kampung tertanya-tanya. Majid tiba-tiba  bersembahyang Asar berjemaah di masjid. Tampan dengan baju melayu sepasang.

Padahal pada  waktu begini, Majid biasanya di simpang jalan.  Memetik gitar. Sambil menyanyi   dengan beberapa teman. Yang semuanya tidak  bekerja!

"Alhamdulillah. Bertambah  lagi jemaah kita." Syukur  Imam Ali, bapa Mila. Tangannya menepuk-nepuk mesra bahu Majid.

Majid buat  muka selamba. Buat-buat dengar dan tidak.  Tangannya terus ligat   membentang sejadah untuk para jemaah.

Habis saja Imam Ali memberi  salam kedua, Majid cepat-cepat bangun. Meluru keluar masjid.  Mencapai sepasang selipar Imam Ali.  Berlari dan meletakkannya di tangga  depan rumah Mila.

Kemudian, berlari semula ke masjid. Bergegas masuk. Dan turut sama mengaminkan doa Imam Ali.



Setelah bersalaman, jemaah sembahyang beredar pulang. Seorang demi seorang.

Tinggal Majid seorang diri di dalam masjid. Pura-pura sibuk. Melipat dan menyimpan semula kain-kain  sejadah yang telah digunakan. Tapi ekor  matanya mengikuti kelibat Imam Ali. Yang melilau ke sana sini .  Mencari  seliparnya yang hilang!

"Kenapa ni Pak Imam?" Majid pura-pura bertanya. Berjalan merapati Imam Ali.  Yang terduduk kepenatan di tangga masjid.

"Aku cari selipar. Hilang tak tau  ke mana. Puas dah aku cari. Tapi masih tak  jumpa." Jawab Imam Ali. Nafasnya turun naik. Kepenatan!

"Nanti saya tolong carikan." Majid menawarkan diri. Pura-pura turut mencari selipar Imam Ali yang hilang. 

"Imam, memang tak jumpa la." Majid menghampiri Imam Ali semula.  Duduk di sebelahnya. Sambil bernafas laju-laju. Berpura-pura keletihan.

"Pelik betul. Dah berbelas tahun aku jadi imam kat sini. Tak pernah terjadi sebelum ni. " Gumam Imam Ali sendiri.
"Pak Imam, biar saya tolong ambilkan  selipar lain." Majid menawarkan diri. 

Imam Ali yang baru hendak memijak tanah, mengangkat kakinya . Dan memijak  lantai simen luar  masjid semula.
"Betul ke?" Pak Imam meminta kepastian.

"Betul. Janganlah berkaki ayam balik ke rumah. Kotor kaki Pak  Imam nanti. Biar saya berlari ke rumah Pak Imam . Bukannya jauh sangat dari sini. "

"Terima kasih Majid. Pergilah. Mila ada di rumah tu. Minta dari Mila! "

Senyum Majid semakin lebar. Matanya bersinar-sinar.  Ketika mendengar nama Mila disebut.

Majid berlari ke rumah Imam Ali. Yang terletak di  hadapan masjid.

Sekadar gambar hiasan

Majid memberi salam. Lama kemudian satu  suara halus menyambutnya. Dan ketika Mila menjengok di muka pintu, Majid tersenyum lebar.

"Mila, Pak Imam suruh aku cium pipi kamu."  Ucap Majid ketika Mila berdiri di hadapannya. Mila yang mendengar  terpinga-pinga.

"Gila. Dah buang tebiat agaknya!"  Mila separuh menjerit.

"Betul. Kalau tak percaya,  nanti aku tanyakan  pada Pak Imam." Terang Majid sungguh-sungguh.

"Pak Imaaaamm....Mila tak beri." Jerit Majid.

Kedudukan rumah Pak Imam Ali tidak jauh mana dengan masjid. Boleh dengar suara jika menjerit. Malahan boleh nampak kelibat Pak Imam dari rumahnya.

"Beri, jangan tak beri!" Laung Pak Imam dari jauh. Sambil tangannya memberi isyarat agar Mila memenuhi permintaan Majid.  Mila tambah bingung .

Hendak tak hendak Mila menyorongkan mukanya. Majid cepat-cepat mencium pipi kanan  Mila. Dan belum sempat mencium pipi sebelah kiri, Mila cepat-cepat menjarakkan diri.

"Pak Imaamm. Mila beri sebelah je. Dia tak nak beri sebelah lagi!"  Majid melaung lagi.

"Beri, jangan tak beri!" Jawapan Pak Imam semakin membingungkan Mila. Tapi hendak tak hendak menuruti juga perintah bapanya.

"Terima kasih Mila." Ucap Majid  sebelum bergegas   menyambar selipar Imam Ali. Yang tadi  diletakkannya di tepi tangga . Lalu berlari laju ke arah masjid. Kerana  Pak Imam Ali sedang menunggu

Keesokan hari, kelibat Majid tidak kelihatan. Orang kampung tertanya-tanya.

"Dia ke PULAPOL. Nak jadi polis." Jawab emak Majid ringkas. Ketika orang kampung menanyakan ke mana menghilangnya Majid.


Beberapa bulan kemudian Majid pulang ke kampung. Rambutnya tersisir pendek. Perwatakannnya juga berubah. Lebih berketrampilan.

Dan Mila pula tidak marah-marah lagi.   Setiapkali Majid menegurnya. Ketika mereka berpapasan . Di tengah jalan! 

Hanya pipi wajah Mila merona merah jambu. Semerah batu delima di jari manisnya . Yang disarungkan oleh emak Majid sendiri.

Ini juga kisah benar. Sama seperti kisah Asam Jawa Tak Ada Biji. 

Ianya saya kutip dari seorang teman. Untuk menjadi tauladan kepada pemuda-pemuda di luar sana.


Lakukanlah perubahan, jika menginginkan anak dara orang. Bukan semua gadis  yang terlalu memilih. Tapi memang perlu menjadi seorang  pemilih. Kerana bimbang tersalah pilih! Oleh itu.......fikir-fikirkanlah. 

0 comments:

 

Catatanku, Memoriku Copyright © 2010 Design by Ipietoon Blogger Template Graphic from Enakei