Beberapa hari ini kepala saya betul-betul sakit. Berdenyut-denyut. Tidur malam jadi tak lena . Rutin harian banyak yang terbengkalai. Dan emosi saya mula terganggu. Cepat melenting. Semuanya jadi serba tak kena!
"Jangan banyak sangat makan ubat. Tak baik la kawan." Itu respon pertama Puan Lee ketika saya mengadu sakit kepala yang amat sangat. Saya ke mini marketnya petang itu.
"Sakit sangat kepala saya nie. Dah tak tahan." Bela saya.
"Cuba awak amalkan jalan kaki setiap hari. Setengah jam saja dah cukup. Saya sendiri dah cuba selama tiga tahun. Dan sekarang sakit kepala saya dah hilang ." Ujar Puan Lee. Sambil menghulurkan ubat yang saya minta.
"Nantilah saya cuba." Jawab saya pendek. Cepat-cepat beredar. Saya tidak berhajat mahu bersembang lama-lama.
Keesokan hari , saya menuruti nasihat Puan Lee. Awal-awal pagi lagi saya sudah keluar dari rumah. Menuju ke Jambatan Sultan Mahmud.
Saya bersendirian dipagi itu. Berjalan kaki di lorong khusus untuk pejalan kaki. Sesekali berpapasan dengan beberapa orang pejalan kaki biasa. Kami berbalas senyuman. Beberapa buah motosikal menghala ke Pulau Duyung. Sedestinasi dengan saya.
 |
Laluan untuk pejalan kaki di Jambatan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu |
Indah rupanya melihat pemandangan pagi dari atas jambatan. Awan-awan terlukis indah di atas kepala. Deretan rumah yang beraneka bentuk mengisi ruang kosong. Dan pohon-pohon yang hijau merimbun. Semuanya begitu mengasyikkan. Dan saya terlupa tentang sakit kepala saya!
Di pertengahan jambatan, saya berhenti sebentar. Masjid Kristal kelihatan berbalam-balam dalam kabus pagi. Air Sungai Terengganu yang mengalir saya renung. Kosong!
Lalu saya mengeluh pada angin pagi yang menampar lembut di pipi saya. Betapa saya berharap... agar mengusir pergi 'kesedihan' yang mencengkam jiwa saya beberapa hari ini. Dan air mata saya menitik jatuh satu satu!
 |
Masjid Kristal dari jauh |
Saya meneruskan perjalanan. Panorama pagi Pulau Duyung semakin jelas.Di laluan utama jambatan, kenderaan semakin sibuk. Membangkitkan bunyi bising bertali arus. Dan sesekali diselangi dengan bunyi hon dari pemandu nakal yang cuba menarik perhatian saya!
 |
Panorama pagi Pulau Duyung |
Di penghujung jambatan, ketika saya berpatah balik hujan renyai turun tiba-tiba. Semakin lama semakin lebat. Dan saya tiada pilihan. Terpaksa meneruskan perjalanan pulang. Hingga habis basah seluruh pakaian saya. Dan ketika tiba di rumah... saya menggigil kesejukan!
Tidak lama kemudian, saya mula rasa tidak sedap badan. Seram-seram sejuk . Pandangan mata mula berpinar-pinar. Dan sakit kepala kembali menggila. Dunia mula berpusing-pusing dan selepas itu semuanya hilang dari pandangan mata!
Saya tidak pasti apa yang berlaku selepas itu. Hinggalah ketika terjaga di tempat tidur pada keesokan pagi...saya terasa seolah-olah baru bangun dari tidur yang amat panjang. Memang betul-betul panjang. Dari jam 11 pagi hingga jam 7 pagi keesokan hari. Bermakna saya tertidur selama hampir 20 jam. Dan peliknya, selepas itu sakit kepala yang menghantui saya hilang terus....
Dan hingga kini saya tertanya-tanya...yang mana satukah penawar kepada sakit kepala saya. Mungkinkah disebabkan keberkesanan berjalan kaki, bermandikan air hujan, atau diulik tidur yang amat panjang ? Yang mana satukah?
Atau mungkinkah disebabkan dua biji pil ubat sakit kepala ..yang saya telan. Sebelum ke tempat tidur dipagi sebelum saya tertidur panjang itu ? Entahlah...hingga kini saya masih tertanya-tanya.
0 comments:
Catat Ulasan