Rabu, 29 Disember 2010

TEMAN ISTIMEWA

Posted by CIKGU ROS at 2:00 PTG
Satu pagi, saya mengunci diri di kamar tidur.   Seorang diri. Berbaring malas di atas katil.

Sambil melayan perasaan. Tidak mahu berbicara dengan sesiapa!

Sekadar gambar hiasan.

Sejujurnya saya tidak keseorangan pagi itu. Sebaliknya ditemani oleh 'si dia'.

Si dia yang begitu istimewa di mata saya. Terlalu istimewa. Yang begitu dekat di hati saya. Begitu memahami.

Dan yang lebih penting......sentiasa di sisi saya. Selalu sedia mendengar keluhan saya. Tidak kira masa. Waktu duka atau gembira. Dia selalu ada!
Siapakah 'si dia'? Bukan sesiapa sebenarnya. Tetapi  buku-buku catatan peribadi saya. Catatan perjalanan hidup saya sepanjang tahun 2010

Ada 12 buah semuanya. Hanya catatan bulan Disember yang masih berbaki. Kosong tidak bertulis di akhir-akhir. Untuk bulan-bulan lain penuh dengan coretan. Luahan perasaan saya sendiri!

Saya sendiri tidak pasti. Bilakah tarikh mula menjadikan buku catatan  sebagai teman istimewa saya.

Cuma seingat-ingat saya, semuanya bermula di zaman meniti usia remaja

Bertitik tolak ketika saya menghadapi masalah. Dikhianati oleh teman baik sendiri. Teman baik yang begitu saya sayangi.

Terlalu saya percayai. Namun sayangnya kepercayaan saya itu tidak dihargai. Sedikitpun tidak. Lalu saya dikhianati. 


Sekadar gambar hiasan

Dikhianati oleh seseorang yang terlalu kita sayangi meninggalkan kesan yang begitu menyakitkan. Begitu pedih rasanya. Dan saya begitu terpukul.
Berhari-hari saya meratapi diri sendiri. Bertanya pada diri.  Mengapakah ianya berlaku. Mengapa dan mengapa. Namun saya sendiri tidak mengerti
Hinggalah pada satu hari, saya terpanggil untuk menunaikan solat malam. 

Dan malam itu ketika di tikar sembahyang saya menangis sungguh-sungguh. Merintih dan berhiba. Mengadu pada Tuhan betapa tersiksanya jiwa saya ketika itu.



Sekadar gambar hiasan
Dan seusai solat, hati saya tergerak menulis sesuatu di buku catatan.

Lalu saya menulis semaunya. Menulis apa saja yang terbuku di dalam hati.

Dan di penghujung catatan, saya merayu agar Tuhan membantu saya. Memberi saya kekuatan untuk menghadapi hari-hari mendatang. 

Kesannya begitu menakjubkan. Malam itu saya mampu tidur lena untuk pertamakalinya

Setelah berhari-hari tidak dapat melelapkan mata walau sepincing pun.

Jiwa saya  sungguh tenang selepas  itu . Seolah-olah semua beban yang saya tanggung selama ini hilang entah ke mana.

Dan mulai dari saat itu.....buku catatan menjadi teman istimewa saya. Teman istimewa yang begitu saya percayai!

Dan ketika bekas teman karib  membuka bicara. Mahu berjumpa. Saya tidak menolak langsung.

Dan kami pun bertemu dalam suasana yang cukup hening.

Saya membisu seribu bahasa sepanjang pertemuan kami. Membiarkan bekas teman baik saya itu memberi pelbagai alasan. 

Sekadar gambar hiasan.

"Ros...tolong maafkan saya!" Rayu bekas teman karib saya berulang kali.

Saya tersenyum mendengarnya. 

"Luka di tangan nampak darahnya. Luka di hati hanya Tuhan yang tahu!" Bisik hati saya. 
"Saya dah lama maafkan kamu. Sedikitpun tidak ada dendam di hati saya."

Saya lihat bibirnya menguntumkan senyuman. Mungkin lega mendengar pengakuan ikhlas dari saya.

"Ros...tolong terima saya kembali.  Please........" 

Lidah saya kelu mendengarnya. Simpati dan benci berbaur satu.

Sekadar gambar hiasan.


"Maafkan saya. Persahabatan kita tak mungkin terjalin semula. Semuanya sudah berakhir semasa kamu khianati saya dahulu. Anggaplah kita tidak pernah berjumpa. Tidak pernah berkongsi rasa. Selepas ini, kita bawa haluan masing-masing!"

Tegas saya. Getar menahan sebak. Dan cepat-cepat bergegas pergi.

Saya tidak mahu dia melihat air mata yang mula bergenang di mata saya!

Selepas itu, saya tidak menoleh ke belakang lagi. Buku catatan terus menjadi sahabat setia. Mengiringi sepanjang kedewasaan saya.

Kami  sama-sama menangis ketika saya bersedih. Sama-sama ketawa ketika saya gembira.

Dan sama-sama berkongsi  perasaan bangga di saat saya menempa kejayaan hidup!

Saya menulis dan terus menulis.

Hari ini entah untuk kali yang keberapa. saya menghabiskan masa seharian. 

Membelek sehelai demi sehelai catatan kehidupan saya. Sepanjang tahun 2010. Dengan penuh minat . Kerana semuanya adalah dari dalam diri saya.

Membaca semua catatan itu seumpama menyelami diri saya sendiri. Hingga ke lubuk dasar!


Dan lewat petang, tika lembayung merah di ufuk senja. Saya berdiri di halaman rumah.Meneruskan kelaziman di penghujung tahun. Membakar semua catatan saya itu.

Kerana saya tidak pernah berhasrat mahu berkongsi isi kandungannya dengan sesiapa. Walau sedikitpun!




Jauh di sudut hati, sayu rasanya melihat teman istimewa terbakar. Marak dijilat api.

Karna saya tahu, ada waktunya nanti saya akan merinduinya. Sepertimana saya merindui yang lain-lain sebelum ini.

Dan ketika 'roh' teman istimewa saya berterbangan ditiup angin petang.....terasa seolah-olah separuh nyawa saya dibawa pergi.

Dan airmata saya menitik laju. Satu-satu. Tak mampu  untuk saya membendungnya

Selamat tinggal kisah semalam.......!












0 comments:

 

Catatanku, Memoriku Copyright © 2010 Design by Ipietoon Blogger Template Graphic from Enakei