Setiap guru yang pernah mengajar saya, bertanggungjawab ke atas diri saya . Sebahagian besar daripada mereka masih segar dalam ingatan saya.
Guru pertama saya secara rasmi ialah Cikgu Rahmah. Berkulit hitam manis. Dengan rambut pendek beralun.
Beliau mengajar saya membaca, menulis, menyanyi dan melukis. Juga selalu memangku saya, ketika bermain buaian di taman permainan.
Di hari penyampaian sijil tamat tadika, saya disuruhnya membuat persembahan. Dengan anak patung di tangan, saya menyanyi dan menari lagu Bonekaku.
Itulah pertamakali saya berdiri di depan audien yang jauh lebih tua dari saya. Sejak itu keyakinan pada diri sendiri mula terbentuk tanpa sedar.
Ketika melangkah ke tahun 1, saya sudah pandai membaca. Namun ketika itu ramai rakan lain yang masih merangkak-rangkak membaca.
Setiap hari, Cikgu Abdul Aziz, guru Bahasa Melayu saya akan menyuruh saya membaca kuat-kuat. Rakan-rakan lain akan mengikut bacaan saya.
Hari demi hari bacaan saya semakin lancar. Tetapi ianya menyebabkan saya menjadi bosan.
Saya memprotes secara senyap. Gambar-gambar dari buku itu saya gunting. Tiada sesiapa yang tahu.
Hinggalah pada hari terakhir persekolahan, bapak saya terkejut ketika guru kelas menemuinya. Meminta bayaran ganti rugi buku bacaan saya!
Saya menganggotai kumpulan anak Serigala ketika di sekolah rendah. Guru pemimpinnya ialah Cikgu M.
Ketika di perjumpaan pertama, saya ketawa mendengar beliau memanggil kami 'anak serigala'. Dan ketawa saya semakin kuat ketika beliau menggelarkan dirinya 'bapa serigala'.
Saya begitu seronok ketika itu. Terbayangkan banyak aktiviti yang mungkin dilakukan seperti buku adventure yang saya baca.
Tapi sayangnya itulah pertemuan pertama dan terakhir kami. Selepas itu beliau terlalu sibuk dengan aktiviti sukan. Hingga tiada masa untuk anak-anak serigalanya!
Guru agama saya ketika di sekolah rendah seorang lelaki. Begitu lemah lembut bila bercakap.
Dan sabar menghadapi karenah kami . Termasuk seringkali mencuci punggung seorang rakan kami . Yang selalu terbuang air besar di dalam kelas!
Ketika saya di darjah dua, beliau berjanji akan menghadiahkan kami RM3. Jika kami berpuasa penuh di bulan Ramadhan.
RM3 satu nilai yang cukup besar buat saya ketika itu. Dan saya berpuasa hingga rasa nak mati.
Sejak dari saat itulah saya mula belajar berpuasa selama sebulan. Terima kasih Ustaz Ahmad Panot!
Mereka semua hanya sebilangan kecil guru-guru saya. Guru awal saya.
Merekalah ibu, merekalah bapa . Sepanjang enam tahun persekolahan di sekolah rendah. Yang membekalkan saya ilmu secukupnya. Sebelum melangkah ke sekolah menengah.
Terima kasih cikgu!
0 comments:
Catat Ulasan